top of page
  • nabalunews

KPT nilai kesesuaian tapak kampus Politeknik Tawau

8 Ogos 2024


TAWAU: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini dalam proses menilai beberapa tapak tanah yang sesuai untuk membina bangunan kampus Politeknik Tawau Sabah (PTS) dalam tempoh masa terdekat ini.


Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, masalah ini adalah isu tertunggak yang akan diselesaikan oleh pihak kementerian dengan segera.


Katanya, pembinaan bangunan kampus PTS adalah perlu kerana pada ketika ini politeknik itu masih menumpang di premis Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau.


“Kita sudah dimaklumkan bahawa IPG Kampus Tawau mahu menggunakan sepenuhnya bangunan sedia ada kerana difahamkan mahasiswa institut berkenaan semakin bertambah.


“Justeru, KPT sedang bersedia untuk mencari tapak baharu untuk dijadikan kampus PTS dan beberapa lokasi di daerah ini sudah dikenal pasti,” katanya.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Politeknik Tawau Sabah, di sini, semalam.


Mengulas lanjut, katanya, KPT sudah meminta pihak pembangunan di kementerian menilai tapak cadangan yang sesuai untuk pembinaan kampus PTS baharu.


“Kita akan pindahkan segera pelajar dan fasiliti yang ada sekiranya kampus PTS baharu siap, namun ia memerlukan sedikit masa.


“Kita harap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberikan ruang secukupnya sehingga bangunan tersedia, barulah PTS boleh berpindah,” katanya.


Sementara itu, dalam rangka lawatan ini juga, Mustapha turut mengadakan sesi motivasi kepada pelajar supaya mereka memahami erti kemerdekaan dan sejarah terutamanya negeri Sabah.


Mustapha mahu semua penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) Sabah menjadi duta keharmonian kerana mereka sudah merasai semangat perpaduan di negeri ini.


“Kita melihat masih ramai lagi dalam kalangan pelajar tidak melihat kepentingan sejarah untuk membina jati diri mereka.


“Sebab itu, kita mahukan pelajar dari semua peringkat untuk terlibat sama dalam membina negara bangsa supaya Malaysia terus menjadi gemilang dan terbilang,” katanya.


Turut hadir, Pengarah Politeknik Tawau Sabah, Mohd Sahran @ Awang Mohidin dan Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Md Nor Abdul Halim.

Comments


bottom of page