top of page

Ronald Kiandee digantung keahlian Bersatu dua penggal

  • nabalunews
  • 1 minute ago
  • 2 min read

10 Mac 2026


KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee digantung keahlian parti selama dua penggal berkuat kuasa hari ini.


Menurut notis penggantungan bertarikh 10 Mac 2026 yang dikongsikan Ronald di media sosialnya, beliau dikenakan tindakan kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.


Ahli Parlimen Beluran itu berkata keputusan tersebut dilihat menguatkan lagi persepsi bahawa Lembaga Disiplin parti kini digunakan sebagai alat politik untuk melindungi presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kelompok kecil di sekeliling kepimpinan tertinggi parti.


Apatah lagi, katanya lembaga berkenaan dipengerusikan oleh individu yang mempunyai hubungan keluarga dengan kepimpinan tertinggi parti,


"Mengapa sekadar digantung? Jika benar bersalah, pecat sahaja. Saya telah menganjurkan program RESET dan juga hadir bersama Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam perjumpaan bersama Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) di Bangkok.


“Jika benar itu adalah satu kesalahan besar, mengapa tidak dipecat?" katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.


Ronald berkata,hala tuju parti sejak dua tahun kebelakangan ini semakin tersasar apabila segala tindakan dilihat tertumpu kepada usaha mengangkat Muhyiddin sebagai 'poster boy' dan calon Perdana Menteri ke-11.


Menurutnya, sesiapa yang dilihat berpotensi menjadi penghalang kepada agenda itu akan disingkirkan, dengan Lembaga Disiplin dijadikan mekanisme utama bagi melaksanakan tindakan berkenaan.


"Inilah juga yang berlaku terhadap beberapa pemimpin parti sebelum ini, termasuk Datuk Seri Hamzah. Akhirnya yang tinggal hanyalah mereka yang sentiasa berkata 'ya' kepada presiden," katanya,” katanya.


Katanya lagi, kewujudan kelompok yang disifatkannya sebagai 'puak ya-presiden' dalam parti itu berpunca daripada beberapa faktor, termasuk pelantikan oleh presiden, kekalahan dalam pemilihan tetapi diberikan jawatan oleh presiden, serta janji watikah pencalonan dalam pilihan raya.


Ujarnya, keadaan itu menyebabkan kesetiaan kepada presiden menjadi keutamaan dalam kalangan sebahagian pemimpin parti.


Menurut Ronald, beliau menyertai Bersatu suatu ketika dulu kerana percaya parti berkenaan adalah wadah perjuangan yang sesuai buatnya, bukan alat untuk memenuhi cita-cita politik individu.


“Saya menyertai parti ini dahulu kerana percaya ia adalah wadah perjuangan, bukan alat untuk memenuhi cita-cita politik individu.


“Namun apa yang kita lihat hari ini amat jauh daripada semangat tersebut. Saya tidak akan merayu. Anggap saja tempoh rayuan ini telah tamat,” katanya.


Dalam notis penggantungan yang ditandatangani, Pengerusi Lembaga Disiplin parti, Datuk Mohd Radzi Manan memaklumkan, tindakan terhadap Ronald dibuat selepas pihaknya bermesyuarat semalam dan memutuskan beliau digantung hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5.


Notis yang sama juga menyatakan Ronald berhak membuat rayuan atas keputusan tersebut dalam tempoh 14 hari bermula 10 Mac.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page