Masalah pengairan Kampung Piasau Dundau dibincang bersama penduduk
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

10 Mac 2026
KOTA BELUD: Isu pengairan yang menjejaskan usaha penanaman padi di Kampung Piasau Dundau di sini yang dilaporkan sejak tiga tahun lalu, dibincangkan bersama penduduk dan pihak berkaitan bagi mencari penyelesaian segera.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, beliau turun padang ke kampung berkenaan bagi melihat sendiri keadaan sistem pengairan yang menjadi kebimbangan masyarakat tani di kawasan itu.
“Kita berada di Kampung Piasau Dundau melihat keadaan pengairan yang telah pun dilaporkan sejak tiga tahun lalu untuk mendapatkan penyelesaian supaya penduduk dapat menanam padi,” katanya ketika melawat sungai di kampung itu kelmarin (9 Mac).

Beliau diiringi Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah (JPS), Siraja Bashora.
Jamawi memberi jaminan bahawa para petani akan mula dapat menanam padi semula pada musim penanam utama Ogos akan datang.
“Saya akan datang lagi ke kampung ini pada bulan Julai nanti untuk memastikan semua yang di bincangkan telah teratur dan dilaksanakan,” kata Jamawi.
Jamawi berkata, perbincangan turut diadakan bersama penduduk kampung, kepimpinan tempatan serta wakil jabatan yang berkaitan.
“Kita telah bincang dengan penduduk dan kepimpinan di kawasan ini, termasuk pihak di peringkat jabatan yang berkaitan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu.
Beliau berkata, semua pihak yang hadir turut mendengar perkara yang dikemukakan oleh masyarakat tani di kawasan berkenaan.
“Mudah-mudahan apa yang telah dikemukakan oleh masyarakat tani di kawasan ini akan kita ambil perhatian,” katanya.
Hasil daripada perbincangan itu, beberapa langkah penyelesaian jangka pendek telah diputuskan dan dipersetujui oleh semua pihak.
Menurut beliau, perkara paling penting ialah memastikan keputusan yang dipersetujui itu dapat dilaksanakan seperti yang dirancang.
Beliau menegaskan bahawa sebagai pihak yang bertanggungjawab, beliau akan memastikan perkara yang dibincangkan dapat diselesaikan.
Dalam masa sama, Jamawi turut memohon maaf kepada penduduk sekiranya terdapat kekurangan dalam usaha menangani isu berkenaan sebelum ini dan akan cuba selesaikan perkara ini bersama-sama.
Beliau turut menegaskan bahawa sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam soal pengairan dan perkara berkaitan, usaha akan diteruskan bagi mencari penyelesaian terbaik.
Terdahulu, Jamawi mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan dan Pembangunan Industri Tanaman Padi Negeri Sabah di Dewan Terbuka Datuk Haji Musbah Haji Jamli.
Hadir sama ialah ADUN Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari dan Timbalan Pengerusi Lembaga Padi dan Beras (LPBS) Datuk Musbah Jamli yang juga mantan ADUN Tempasuk.
Jamawi turut mengadakan lawatan ke Sawah Padi Pelaksanaan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) di Kg. Piasau dan Kg. Tambulion.
Dalam program berasingan, Jamawi menghadiri Majlis Silaturahim berbuka puasa bersama lebih 500 orang penduduk kampung di Dewan Arsad Tempasuk yang dihoskan oleh Mohd. Arsad. Dalam Majlis itu, Jamawi turut menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf sekitar DUN Tempasuk.















Comments