KPTNS ke-40 cerminan usaha berterusan memartabatkan seni visual Sabah
- nabalunews
- 4 days ago
- 1 min read

15 April 2026
KOTA KINABALU: Majlis Perasmian Pameran dan Penyampaian Hadiah Karya Pilihan Tahunan Negeri Sabah ke-40 (KPTNS) dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 17 April ini.
Pengarah Balai Seni Lukis Sabah, Sara Elisya Ahmad Shah berkata, penganjuran edisi ke-40 itu merupakan satu pencapaian signifikan yang menandakan empat dekad usaha berterusan dalam memartabatkan seni visual di negeri ini.
Katanya, KPTNS kali ini diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-75, Tun Musa Aman, sekali gus menjadikan majlis tersebut sebahagian daripada acara rasmi negeri.
“Penganjuran ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa industri seni sebagai elemen penting pembangunan masyarakat, di samping mencungkil serta mengetengahkan bakat seni visual dalam kalangan golongan muda, profesional dan penggiat baharu.
“Ia seterusnya mampu melahirkan generasi kreatif yang berupaya mengangkat nama Sabah ke peringkat lebih tinggi,” katanya ketika ditemu bual dalam segmen Kupivibez di konti Kupi-Kupi FM, di sini pada Selasa.
Menurut Sara, majlis perasmian adalah tertutup kepada jemputan, namun karya terpilih akan dipamerkan kepada orang awam bermula 24 April hingga 7 Julai depan di Galeri Yaman dan Galeri Umum, Balai Seni Lukis Sabah.
Katanya, galeri berkenaan dibuka dari Selasa hingga Ahad, bermula 9 pagi hingga 4 petang.
“Pameran ini memberi peluang kepada masyarakat untuk menghayati karya seni terbaik negeri sekali gus mendekatkan seni dengan rakyat, tanpa terhad kepada acara eksklusif,” katanya.
“KPTNS ke-40 diharap akan terus menjadi platform utama dalam memperkasa seni visual di Sabah serta mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai sebagai tanda penghargaan terhadap karya seni tempatan,” katanya.















Comments