Krisis air Kota Belud: Penduduk mengharapkan penyelesaian segera
21 Disember 2024
KOTA BELUD: Krisis kekurangan bekalan air bersih yang melanda daerah ini semakin membebankan ribuan penduduk.
Ahli Parlimen P169 Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis@Fakharudy bersama Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, Saikom Watis yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick mengambil langkah proaktif dengan mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Air Daerah Kota Belud pada Jumaat.
Lawatan tersebut bertujuan mendapatkan penjelasan sahih daripada Jurutera Air Daerah Kota Belud, Nelley Juee Phillip, berhubung punca utama masalah ini dan langkah yang diambil untuk menanganinya.
Dalam taklimatnya, Nelley memaklumkan bahawa masalah berpunca daripada kerosakan semua pam air di Loji Rawatan Air Bayayat Kadamaian, termasuk pam gantian. Keadaan ini berlarutan akibat kelewatan penghantaran alat ganti yang dipesan oleh pihak kontraktor.
Menurut Nelley, Jabatan Air Sabah mengambil beberapa langkah sementara untuk mengurangkan beban penduduk.
Antara tindakan yang sedang dilaksanakan ialah catuan air secara bergilir di Loji Rawatan Air Pekan Kota Belud.
Nelley berkata penghantaran air menggunakan lori ke kawasan yang membuat permohonan bekalan air turut dilakukan meskipun bilangan lori yang terhad menyebabkan kelewatan.
Katanya penduduk boleh mendapatkan bekalan air di Loji Rawatan Air Pekan Kota Belud dengan membawa bil air sebagai bukti pengguna bermeter dari kawasan terjejas.
"Namun, cadangan untuk meminjamkan pam air dari loji di pekan ke loji Bayayat dianggap kurang praktikal kerana kebimbangan bekalan air ke Hospital Kota Belud turut terganggu," katanya.
Krisis bekalan air ini telah berlanjutan selama beberapa minggu, melibatkan banyak kampung di Kadamaian seperti Kampung Taginambur, Kampung Tamalang, Singgahmata, dan Bukit Bendera, Ratau, Tamu Darat, Rangalau dan Kampung Piasau.
Malah, sekolah seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Narinang turut terkesan, memburukkan keadaan pelajar yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Ahli Parlimen Kota Belud turut menggesa agar pihak Jabatan Air Sabah menyiasat kecekapan kontraktor yang dilantik, memandangkan kelewatan pembaikan ini bukan isu baharu.
Sementara itu, Jabatan Air Sabah meminta maaf atas kesulitan yang dihadapi penduduk dan berjanji akan melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah ini secepat mungkin.
Saikom yang senada dengan ahli Parlimen turut menyuarakan kebimbangannya berhubung persiapan sambutan Krismas di kawasan terlibat terutamanya kawasan Kadamaian yang majoritinya akan menyambut perayaan Hari Natal.
Beliau berharap Jabatan Air Sabah dapat memastikan penambahbaikan segera demi kesejahteraan masyarakat.
Penduduk berharap krisis ini dapat diatasi segera.
Mereka berharap dengan sokongan daripada pihak berkuasa dan kerjasama semua pihak, isu ini tidak berulang dan keperluan asas penduduk dapat dipenuhi tanpa gangguan.
Commentaires