top of page

Krismas Sabah 2025 lambang perpaduan, keharmonian kaum - Ewon

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read
ree

16 Disember 2026


KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah 2025 lambang perpaduan, keharmonian dan semangat kebersamaan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini.


Beliau yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan berkata, keputusan Kerajaan Negeri Sabah mengangkat sambutan Krismas anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Majlis Gereja-Gereja Sabah (SCC) sebagai sambutan peringkat negeri mencerminkan keterbukaan serta komitmen kerajaan dalam menyokong sambutan perayaan keagamaan di Sabah.


“Sesuai dengan tema, “Pengharapan Damai Dalam Kasih” saya ingin mengajak semua kita untuk terus memupuk semangat kekitaan, kebersamaan, perpaduan, perdamaian, keharmonian dan kerjasama sesama rakyat Sabah.


“Tema ini juga cerminan identiti kita sebagai masyarakat yang mendukung nilai kasih, hormat menghormati dan menghargai anugerah ciptaan Tuhan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah 2025, di Padang Merdeka, di sini, malam tadi.

ree

Majlis itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.


Ewon yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah menyeru seluruh rakyat Sabah agar terus memupuk semangat perpaduan, perdamaian dan kerjasama demi memastikan kestabilan dan kemajuan ekonomi negeri.


“Dengan semangat kasih sesama kita, sudah tentunya pucuk kepimpinan dan rakyat jelata dapat bersatu merencana agenda kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan pembangunan infrastruktur sesuai dengan wawasan Sabah First,” katanya.


Beliau berkata, penganjuran sambutan dengan konsep terbuka ini turut memberi peluang kepada usahawan kecil dan penjaja tempatan untuk menjana pendapatan, termasuk melalui penyediaan juadah bagi program Jamuan Rakyat.


Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada SCC dan DBKK selaku penganjur utama sambutan selama empat hari bermula 16 hingga 19 Disember ini, selain mengiktiraf peranan pelbagai agensi kerajaan, rakan industri, komuniti gereja dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjayakan penganjuran tersebut.


Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah 2025 dijangka menarik kehadiran puluhan ribu pengunjung dan menjadi platform memperkukuh keharmonian serta semangat muhibah dalam kalangan rakyat Sabah.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page