top of page

Kru kabin wanita AirAsia kini dibenar pakai tudung

  • nabalunews
  • 7 hours ago
  • 2 min read

ree

5 Disember 2025


KUALA LUMPUR: AirAsia hari ini mengumumkan pembaharuan dalam polisi pakaian seragam kru kabin membolehkan kru wanita memilih untuk memakai hijab semasa bertugas, yang dijangka bermula suku pertama 2026 pada bulan Ramadan.


Langkah berkenaan selaras dengan budaya syarikat penerbangan tersebut serta evolusi berterusan yang dibentuk menerusi maklum balas daripada pelbagai pihak.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata, pembaharuan terkini itu memacu pertumbuhan dan pengembangan AirAsia sebagai syarikat penerbangan global yang meraikan kepelbagaian komuniti dan budaya dalam tenaga kerjanya.

ree

“Seragam kami sentiasa mencerminkan profesionalisme, keselamatan dan keselesaan dan evolusi ini membina asas tersebut dengan memberikan keyakinan kepada kakitangan kami selaras dengan kepercayaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.


Menurut beliau, kru kabin AirAsia sebelum ini telah menggunakan hijab dalam operasi ke laluan tertentu seperti Jeddah, di mana ianya diwajibkan oleh peraturan tempatan.


Pembaharuan itu, katanya, akan memperluaskan fleksibiliti kepada semua kru kabin wanita yang memilih untuk memakainya dan memastikan keseragaman di seluruh rangkaian syarikat penerbangan dengan mengekalkan identiti jenama AirAsia yang profesional.


Sementara itu, Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia, Suhaila Hassan berkata, polisi tersebut mencerminkan semangat kepelbagaian dan dinamik yang menjadi identiti AirAsia.


“Kami akan terus menerima maklum balas daripada Allstars (kakitangan AirAsia) dan bekerjasama rapat dalam reka bentuk terperinci serta pelaksanaan, sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya. Kami berharap untuk memulakannya pada bulan Ramadan 2026,” jelasnya.


Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, antara kekuatan terbesar AirAsia ialah kepelbagaian tenaga kerjanya dan keterbukaan terhadap pelbagai pandangan.


Beliau berkata, apabila kru kabin mengutarakan perkara tersebut kepada pihak pengurusan, adalah penting untuk membuat penilaian secara menyeluruh.


“Menghormati pandangan dan kepercayaan yang berbeza bukan sahaja sebahagian daripada budaya kami, tetapi juga telah membentuk kejayaan kami sepanjang tahun. Inilah cara kami berkembang dengan berevolusi bersama berdasarkan pandangan daripada kakitangan kami,” ujarnya.


Pakaian seragam ikonik kru kabin AirAsia berwarna merah akan dikekalkan, dengan penambahan pilihan hijab dan seluar yang direka secara profesional, sama seperti yang dipakai oleh kru bertugas di laluan Jeddah.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page