top of page
  • nabalunews

Kuasa mampan banteras dadah adalah kesedaran dan pencegahan dari rumah

11 Ogos 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


TAWAU : Semua pihak tidak harus memandang ringan ungkapan pencegahan itu bermula dari rumah kerana usaha membanteras penyalah gunaan dadah adalah tanggungjawab bersama, khususnya ibu bapa dan bukan hanya terletak di bahu kerajaan melalui Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) semata-mata.


Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata jika seseorang mempunyai

tahap kesedaran tinggi, beliau percaya penyalahgunaan najis dadah dapat dikurangkan atau mungkin dibanteras sepenuhnya.


Apatah lagi katanya, trend penyalahgunaan dadah kini sudah mengalami perubahan dengan penggunaan dadah sintetik berbanding konvensional iaitu berasaskan tumbuhan seperti ganja, morfin dan heroin.


“Lebih merisaukan berlaku peningkatan permintaan terhadap dadah sintetik seperti methamphetamine serta munculnya dadah psikoaktif jenis baharu yang pelbagai jenis.


“Kerajaan melihat perkara ini amat dahsyat kerana masalah dadah bukan hanya memberi ancaman kepada sosial tetapi turut merangkumi keselamatan negara,” katanya.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Kalabakan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Program Seminar Kesedaran Keibubapaan (Pencegahan Dadah) peringkat daerah Tawau - Zon Kalabakan Tahun 2024 di Dewan SJK (C) Yuk Chin, di sini, hari ini.


Teks ucapannya dibacakan Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Kalabakan, Saripudin Nuhalim.


Sehubungan itu, Andi mengajak semua pihak berganding bahu melaksanakan program-program pencegahan bagi memastikan generasi madani bebas daripada ancaman dadah, selaras slogan Lebih Baik Cegah dan Sekolah Bebas Dadah.


Katanya, Pemerkasaan Program Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDA) di sekolah-sekolah adalah usaha murni kerajaan untuk memberi kesedaran akan bahaya dadah dalam kalangan murid-murid.


“Kewujudan Lorong PPDA, Sudut PPDA, Ikon PPDA untuk guru, murid dan sekolah bertujuan untuk mewujudkan kesedaran tentang bahaya dadah.


Namun semua program PPDA dan usaha AADK tidak akan berjaya jika masyarakat, khususnya ibu bapa dan penjaga tidak peduli atau prihatin terhadap ancaman dadah ini,” katanya.

Comentarios


bottom of page