Kudat Diperkasa Sebagai Hab Ekonomi Biru Serantau

18 Okt 2026
KUDAT: Kerajaan Negeri memperkasakan pembangunan Kudat sebagai hab ekonomi biru serantau menerusi pelan induk Taman Perindustrian Ekonomi Biru (BEIP).
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, aspirasi tersebut diterajui oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13.
"Sebagai langkah awal, pelan induk sedang disediakan di kawasan seluas 1,205 ekar milik Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) di Kampung Limau-Limauan dan Perapat Laut.

"Sebanyak 3,129 ekar lagi di Matunggung, Banggi dan Tanjong Kapor turut dikenal pasti sebagai kawasan rizab pembangunan projek berkenaan.
"Berkonsepkan pembangunan maritim dan teknologi hijau, projek ini memberi tumpuan kepada industri makanan laut, logistik perdagangan serta kegiatan ekonomi berasaskan laut, termasuk cadangan pembinaan pelabuhan sebagai zon perdagangan serantau.
"Kedudukan strategik Kudat memberikan kelebihan kompetitif untuk memperluas hubungan perdagangan antarabangsa, terutamanya dengan pasaran utama seperti China, Korea Selatan, Jepun dan Filipina.
"Pengukuhan industri perikanan laut dalam serta naik taraf bagang di persisiran pantai turut diberi perhatian supaya masyarakat setempat dapat mengambil bahagian dalam perkembangan ini," katanya ketika merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Program Sentuhan Kasih Rakyat DUN Tanjong Kapor di Dataran Tomborungus, di sini, pada Sabtu.
Menurut beliau, sokongan keusahawanan dan akses kepada perkhidmatan yang Kerajaan Negeri sediakan pada hari ini menjadi usaha pelengkap untuk mempersiapkan rakyat memanfaatkan peluang Pembangunan tersebut.
"Untuk merealisasikan potensi ekonomi biru Kudat dan memperluas manfaat Pembangunan kepada rakyat, kita memerlukan dukungan dasar, peruntukan serta infrastruktur yang kukuh.
"Justeru, kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan amat penting bagi memastikan perancangan Pembangunan dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan," ujarnya.
Mengulas mengenai program berkenaan, Hajiji berkata program tersebut melibatkan kerjasama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan yang bersifat empat (4) dalam satu (1).
“Ia menggabungkan Sentuhan Kasih Rakyat, Karnival Jom Malaysia, Jualan Rahmah Madani dan Perkhidmatan Komuniti Bergerak (MCS).
“Sentuhan Kasih Rakyat menyantuni kebajikan masyarakat, JOM MALAYSIA memperluas peluang ruang promosi serta pemasaran produk tempatan, meringankan kos perbelanjaan sara hidup rakyat, manakala Perkhidmatan Komuniti Bergerak mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat,’ tambahnya.
Antara pengisian program adalah penyerahan geran tanah individu, penyerahan kunci rumah menerusi Program Rumah Mesra Rakyat Sabah Maju Jaya (SMJ) dan sumbangan pembinaan surau.
Selain itu, lima kampung turut diwartakan dan memperoleh geran tanah kampung sah iaitu Kampung Dampirit, Kampung Marang Parang, Kampung Loro Kecil, Kampung Simpang Mengayau dan Kampung Labuan Sama.
Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman dan Pegawai Daerah Kudat, Charles William Dabbi./Penerangan-















Comments