- nabalunews
Kumpulan Pelaksana dan Pengurusan Profesional nikmati pelarasan Gaji 15%
16 Ogos 2024
PUTRAJAYA: Penjawat awam di seluruh negara bakal menikmati pelarasan gaji baharu bermula Disember ini, dengan Kumpulan Pelaksana dan Pengurusan Profesional menerima kenaikan sebanyak 15% daripada gaji asas semasa, manakala Kumpulan Pengurusan Tertinggi mendapat pelarasan sebanyak 7%.
Pengumuman ini disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Majlis Amanat Perdana Menteri Perkhidmatan Awam ke-19 (MAPPA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Anwar menjelaskan bahawa langkah ini merupakan satu tindakan berani yang mempertimbangkan pelbagai aspek ekonomi negara, dengan pelaksanaan pemberian pelarasan gaji dilakukan secara bertahap.
Namun, pelaksanaan kenaikan ini akan dilakukan secara berfasa dan hanya terpakai kepada pegawai yang menerima opsyen Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sahaja, bagi mengelakkan tekanan inflasi yang boleh menjejaskan pendapatan sebenar.
Penjawat awam Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional akan menerima pelarasan gaji sebanyak 8% pada Fasa 1 dan 7% pada Fasa 2, manakala Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT) akan menerima pelarasan gaji sebanyak 4% pada Fasa 1 dan 3% pada Fasa 2.
"Seperti penjawat awam sedang berkhidmat yang akan diselaraskan gaji pada Disember 2024, penyelarasan pencen juga akan dilaksanakan berdasarkan pelarasan ke atas gaji akhir pesara," kata Perdana Menteri, lapor Bernama.
Justeru, Perdana Menteri berkata julat peningkatan pendapatan yang bakal diterima penjawat awam adalah 16.8 hingga 42.7 peratus, dengan mengambil kira faedah berganda.
Beliau memberikan contoh seorang Pembantu Hidupan Liar, Gred G11, dengan pendapatan bulanan pada 30 November 2024 sebanyak RM1,795 akan menerima pendapatan bulanan sebanyak RM2,115 mulai Disember 2024 berdasarkan pelarasan gaji Fasa 1.
Tambahnya semasa pelarasan gaji Fasa 2 pada 1 Jan 2026, beliau akan menerima pelarasan sebanyak tujuh peratus menjadikan jumlah pendapatan bulanan Fasa 2 berjumlah RM2,327.
“Kaedah atau formula pengiraan ini akan diterangkan dengan lebih lanjut oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dalam sesi libat urus yang akan diadakan selepas pengumuman,” katanya.
Seterusnya Anwar berkata dalam usaha meningkatkan motivasi kerja Kumpulan Pelaksana, satu bentuk insentif berasaskan prestasi akan diberikan kepada pegawai yang telah mencapai tempoh perkhidmatan sekurang-kurangnya enam (6) tahun selepas Time-Based Kecemerlangan (TBK) 2 dan insentif ini bersamaan dengan kadar satu kenaikan gaji tahunan (KGT) gred jawatan semasa pegawai.
Beliau berkata inisiatif itu dilaksanakan melalui urusan pemangkuan atau kenaikan pangkat tanpa kekosongan secara Khas Untuk Penyandang (KUP) dari Gred 48 hingga ke Gred Khas C.
“Bagi inisiatif itu, fokus akan diberikan kepada tujuh bidang tujahan baharu seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, transformasi digital, teknologi makanan, peralihan tenaga, persempadanan negara dan pengurusan bencana,” katanya.
Bagi menghargai pengorbanan dan khidmat bakti anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Anwar berkata Bantuan Sara Hidup (BSH) bagi veteran ATM tidak berpencen akan ditambah daripada RM300 kepada RM500 sebulan untuk yang layak, bagi membantu meringankan beban kos sara hidup.
Perdana Menteri berkata kadar pelarasan gaji yang ditingkatkan melalui SSPA itu dilaksanakan kerana mengambil kira berlaku peningkatan 21.3 peratus terhadap Indeks Harga Pengguna (IHP) dalam tempoh 10 tahun lepas, terutamanya harga makanan dan minuman yang merupakan keperluan asas, yang turut naik pada kadar 24.8 peratus.
"Kita rasa gaji penjawat awam selama ini sejak 12 tahun hanya naik 5.8 peratus ketimbang inflasi 24 peratus, maka sebab itulah bagi penjawat awam amat menekan terutama Gred 26 dan ke bawah yang mempunyai nilai gaji pokok yang rendah.
"Kali terakhir pelarasan gaji pada 2012, pelarasan gaji (SSPA) yang akan dilaksanakan nanti pada umumnya adalah jauh lebih baik daripada apa yang pernah dilaksanakan, jadi kerajaan komited untuk memastikan pembelaan penjawat awam," kata Anwar.
Anwar seterusnya mengingatkan jangan ada pihak yang mengambil kesempatan dalam apa jua bentuk susulan pengumuman penyelarasan gaji penjawat awam berkenaan.
“Umpamanya cubaan untuk menaikkan harga barangan keperluan dan sebagainya... perkara ini seharusnya dihindari.
“Saya harap sektor swasta terutamanya syarikat-syarikat yang catatkan keuntungan tinggi mencontohi langkah kerajaan menaikkan gaji penjawat awam dengan mengambil langkah yang perlu sebagai simbolik menghargai produktiviti dan pengorbanan serta keringat tenaga pekerja syarikat masing-masing,” katanya lagi.
Comentarios