top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kumpulan tari Sabah lakar kejayaan di IDO World Dance Festival 2023


9 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sechinta Squadra, iaitu sebuah kumpulan tari dari Sabah telah melakarkan kejayaan di pentas dunia apabila berjaya merangkul empat pingat dalam International Dance Organization (IDO) World Dance Festival 2023 yang berlangsung di Korea Selatan baru-baru ini.


Kumpulan tari itu diketuai oleh Shasheila Sheril Sarikol dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chinta Mata, Tenom. Ia terdiri daripada 10 pelajar berusia 12 hingga 17 tahun yang mengambil bahagian dalam empat kategori tarian.


Mereka telah mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai juara dalam kategori Formasi Trio Dewasa dan Solo Folklore, serta tempat ketiga dalam kategori Kumpulan Junior dan Duo Junior Folklore.


Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberi sokongan dan sumbangan kepada kumpulan tari itu, termasuk Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri lll, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, Institut Kerjasama Rakyat (IKRAR), Ahli Parlimen P.181 Tenom, Riduan Rubin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Melalap, Datuk Peter Anthony.


Kumpulan itu telah diiringi oleh dua orang guru pengiring daripada SMK Chinta Mata, iaitu Mary Jane Jeefre dan John Francis sepanjang pertandingan berlangsung bermula 4 hingga 6 Ogos.


Turut serta dalam rombongan itu ialah Pegawai-pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tenom, Rodolf Arat dan Stella Bibis; serta koreografer Earl Steiner dan Arthur Darren Jacob.


Terdahulu, pertandingan tari antarabangsa itu telah diadakan di Goyang Aram Nuri Opera Hall, Goyang Si, Korea Selatan pada 4 hingga 6 Ogos lalu. Ia telah menyaksikan penyertaan daripada kumpulan-kumpulan tari daripada pelbagai negara yang berentap dalam pelbagai genre tarian.



bottom of page