Kunjungan hormat Ewon dan Ketua-Ketua Pastor Kadamaian kepada Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kunjungan hormat Ewon dan Ketua-Ketua Pastor Kadamaian kepada Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah


20 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick bersama Ketua Kawasan SIB Taginambur Pastor Phool Tampisal dan Ketua Kawasan SIB Nahaba Pastor Samry Maudin mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.


Menurut Ewon, kunjungan tersebut bertujuan untuk membincangkan perkara yang telah beliau bangkitkan pada sidang DUN yang lepas mengenai kebajikan Pastor dan anak-anak Pastor yang sedang melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi.


“Pada sidang DUN bulan Mac yang lepas, saya telah membangkitkan isu berkenaan keperluan membantu anak-anak Pastor yang sedang melanjutkan pengajian tinggi agar turut sama diberikan bantuan laptop oleh Kerajaan Sabah. Disebabkan satu syarat bantuan laptop tersebut ialah perlu berdaftar dengan e-Kasih, maka sukar untuk anak-anak Pastor ini menerima bantuan tersebut kerana ibu atau bapa mereka yang menjalankan amanah sebagai Pastor tidak berdaftar dengan e-Kasih.

“Pendapatan Pastor juga berada dalam kategori yang sebenarnya melayakkan mereka masuk dalam e-Kasih. Tetapi mereka tidak tersenarai. Itu sebabnya saya mengatakan dalam sidang ketika itu wajar bagi Kerajaan untuk turut sama memberikan bantuan kepada anak-anak Pastor.


“Saya berterima kasih kepada Datuk Arifin kerana telah memberi perhatian kepada perkara yang saya bangkitkan dan seterusnya bersetuju dibincangkan pada hari ini bersama-sama dengan Ketua-Ketua Pastor daripada kawasan DUN Kadamaian,” katanya.


Menurut Ewon, turut dibincangkan ialah keperluan untuk tabika-tabika berdaftar dengan Jabatan Pendidikan yang dikendalikan di bawah gereja dan keperluan lembaga pengelola tabika tersebut.


Kawasan DUN Kadamaian mempunyai jumlah terbanyak tabika-tabika sedemikian di daerah Kota Belud.


Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Setiausaha Tetap di Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Sapdin Ibrahim.

bottom of page