Kursus CPR tingkat kesedaran komuniti di Kadamaian

20 Oktober 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KADAMAIAN: Seramai 120 orang peserta dari enam buah kampung yang terlibat dalam program KOSPEN telah mengikuti kursus asas CPR (Resusitasi kardiopulmonari)kepada komuniti yang telah berlangsung selama dua hari bermula Sabtu lalu di Mini Dewan Pejabat ADUN Kadamaian, Kg Piasau Kota Belud.
Tujuan kursus ini diadakan adalah untuk memberi tunjuk ajar cara dan teknik CPR kepada komuniti dan memahami kepentingan cara CPR yang betul dalam kecemasan.
Kursus ini telah dikendalikan oleh dua orang penceramah iaitu Dr. Sabrina dari Klinik Kesihatan Taginambur dan Dr. Denella dari Klinik Kesihatan Jawi-Jawi.
Para penceramah telah memberikan penerangan teori dan praktikal mengenai CPR dan menunjukkan langkah-langkah yang perlu diambil apabila berhadapan dengan mangsa yang tidak bernafas.

Peserta-peserta kursus yang terdiri daripada penduduk Kg Piasau, Kg Nahaba, Kg Rangalau, Kg Terintidon, Kg Pinolobu dan Kg Bangkahak di sini juga telah diberi peluang untuk mencuba teknik CPR dengan menggunakan patung boneka sebagai simulasi.
KOSPEN atau Komuniti Sihat Pembina Negara adalah program kerajaan yang bertujuan untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan rakyat melalui aktiviti-aktiviti kesedaran, pencegahan dan rawatan.
Turut hadir dalam kursus itu ialah ketua-ketua pegawai kesihatan, pejabat kesihatan kawasan Tuaran dan Kota Belud.
Semua peserta kursus telah diberikan sijil penyertaan sebagai pengiktirafan kepada mereka.
Comments