Kursus Pemanduan 4X4 Tingkatkan Kemahiran Staf SAPURA RESEARCH
- nabalunews
- Feb 14
- 1 min read

14 Februari 2025
Oleh : Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Seramai 15 orang kakitangan SAPURA RESEARCH menyertai Kursus Pemanduan 4X4 (4x4 Defensive Driving Training) yang dianjurkan oleh EADSS Training Consultant & Resource.
Program intensif selama dua hari itu berlangsung di Eco-Camp KOTAMU dan bertujuan untuk meningkatkan kemahiran pemanduan kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencabar.
Pengerusi penganjur, Mohamad Hafiz, berkata bahawa kursus ini amat penting kerana kebanyakan peserta terlibat dalam tugasan yang memerlukan mereka memandu ke lokasi-lokasi terpencil, termasuk laluan sukar menuju ke menara telekomunikasi.

Katanya, menerusi latihan itu, mereka dapat meningkatkan keselamatan dan kecekapan pemanduan ketika berdepan dengan cabaran laluan yang ekstrem.
“Latihan ini dikendalikan oleh empat jurulatih profesional dari EADSS Training Consultant & Resource yang memberikan bimbingan teori dan praktikal mengenai teknik pemanduan dalam pelbagai keadaan medan.
“Peserta diuji dengan cabaran seperti memandu di laluan berbukit, berlumpur, berair dan berbatu,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, latihan itu sekaligus meningkatkan kemahiran dalam mengendalikan kenderaan pacuan empat roda secara selamat dan efisien.
"Kursus ini berjaya mencapai objektifnya dalam melahirkan pemandu yang lebih berkemahiran tinggi dan berdisiplin di jalan raya.
“Khususnya dalam situasi yang mencabar dan lebih bersedia untuk melaksanakan tugas mereka dengan lebih cekap dan selamat." katanya.
Hafiz berkata, pemilihan Eco-Camp KOTAMU sebagai lokasi kursus bukan saja disebabkan oleh fasiliti penginapan yang lengkap, tetapi juga kerana ia memiliki laluan khas yang sesuai untuk latihan pemanduan 4X4.
“Selain itu, kemudahan katering dan suasana yang selesa menjadikan lokasi ini pilihan ideal untuk penganjuran kursus seperti ini,” katanya.
Comments