KUSKOP akan buka pejabat baharu SKM cawangan semporna: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KUSKOP akan buka pejabat baharu SKM cawangan semporna: Ewon


4 Mac 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


SEMPORNA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, pejabat baharu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) cawangan Semporna akan dibuka tahun ini.


Beliau berkata, pembukaan pejabat baharu itu akan memudahkan masyarakat sekitar daerah ini berurusan dan mendapatkan maklumat mengenai koperasi atau menubuhkan koperasi.


“Keputusan kita untuk membuka pejabat baharu SKM cawangan Semporna juga adalah respond kita kepada permintaan koperator-koperator Semporna semasa sesi libat urus pada hari ini,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa sesi libat urus bersama para koperator daerah Semporna sempena Lawatan Jejak Koperasi di Koperasi Kurnia Berhad, di sini, hari ini.


Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Keusahawanan KUSKOP, Datuk Zamri Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif SkM Rusli Jaafar dan Pengarah SKM Sabah Matias Kundapin.


Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Ewon berkata, KUSKOP komited dan sentiasa berusaha menyediakan ekosistem yang kondusif agar gerakan koperasi dapat terus berkembang dan menyumbang secara signifikan untuk meningkatkan ekonomi masyarakat.


“Dengan kerjasama padu antara KUSKOP dengan SKM, Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan ANGKASA, kita dapat melihat gerakan koperasi negara telah membangun dengan pesat dan berjaya mengecapi pelbagai kejayaan dalam tempoh lebih 100 tahun.


“Bilangan koperasi di negara kita telah melonjak kepada 15,556 buah koperasi dengan jumlah keanggotaan sekitar 7.3 juta sehingga 30 Jun 2023.


“Kejayaan gerakan koperasi menceburi pelbagai sektor ekonomi telah berjaya meningkatkan pengumpulan modal syer dan yuran kepada RM17 bilion, dengan penjanaan aset berjumlah RM161 bilion dan perolehan mencecah RM40 bilion,” katanya.


Beliau berkata, kejayaan itu turut disumbang oleh koperasi-koperasi di Sabah yang mana merupakan negeri kedua tertinggi dalam statistik bilangan koperasi di Malaysia dengan jumlah 1,765 buah koperasi.


“Di Semporna ini sahaja, sebanyak 72 buah koperasi dengan keanggotaan seramai 16,379 orang.


“KUSKOP melalui SKM dan IKMa akan meneruskan usaha untuk menyediakan bantuan dari segi kewangan dan Latihan kepada koperasi-koperasi,” katanya.


Oleh itu, beliau menyarankan agar semua koperasi di sekitar Semporna menggunakan segala peluang dan ruang untuk mendapatkan maklumat bantuan dari SKM dan IKMa dalam usaha memperkasakan lagi aktiviti koperasi masing-masing.


“Saya juga menyarankan koperasi untuk mempelajari selok-belok menggunakan platform digital bagi meluaskan skop perniagaan agar produk lebih dikenali ramai serta dapat menembusi pasaran yang lebih luas dan tidak hanya tertumpu kepada kawasan setempat sahaja,” katanya.

bottom of page