Eagles Rugby Club Juara Kejohanan Ragbi Sports Science UMS 10’s
- nabalunews
- 1 hour ago
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
26 Mei 2026
KOTA KINABALU: Eagles Rugby Club dinobatkan sebagai juara kategori Men’s Cup dalam Kejohanan Ragbi Sports Science UMS 10’s yang berlangsung pada 23 hingga 24 Mei lalu di Padang Rugby, Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Eagles mengalahkan Titanium RC di perlawanan akhir, manakala Sharks RC dan Sabah Osca Warriors RC masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat.
Dalam kategori Plate, Kepayan Tiger muncul juara diikuti Pangazou RC sebagai naib juara. Bagi kategori Bowl, Barbarian RC menjuarai pertandingan manakala Crocz RC di tempat kedua.

Kejohanan yang menghimpunkan pelbagai pasukan ragbi tempatan ini turut mempertandingkan kategori Wanita dan Veteran. Angels RC dinobatkan juara wanita, diikuti SUKMA Sabah dan KK Lady Sharks. Bagi kategori Veteran, SABORC Goldstar muncul juara, manakala KK Sharks Tradition dan Osca Legend masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Kejohanan ini dianjurkan oleh pelajar Sains Sukan UMS daripada Batch Emperor selaku penganjur utama dengan kerjasama Batch Novarise, serta mendapat sokongan daripada Sabah Rugby Union (SRU) dan Sports Science High Performance Unit (SSHPU).
Penasihat program bagi subjek Pengurusan Acara Sukan (PZ30603), Prof. Madya Dr. Hasnol Noordin berkata, penganjuran kejohanan ini memberi pendedahan langsung kepada pelajar dalam mengendalikan acara sukan secara profesional.

“Program ini menjadi platform pembelajaran praktikal kepada pelajar dalam aspek pengurusan acara, selain meningkatkan kemahiran organisasi dan kepimpinan,” katanya.
Turut hadir menyampaikan hadiah ialah Prof. Madya Dr. Mohd Rozilee Wazir Norjali Wazir, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan UMS.Menurut beliau, kejohanan seperti ini mampu mencungkil bakat baharu dalam kalangan pemain serta memberikan pengalaman berharga kepada atlet dan pelajar penganjur.
Secara keseluruhannya, kejohanan ini berjaya mencapai objektif memperkasakan pembangunan sukan ragbi di Sabah serta melahirkan graduan kompeten dalam bidang pengurusan sukan.















Comments