Kuskop akan lancar Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi 2021-2025: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kuskop akan lancar Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi 2021-2025: Ewon


Ewon menyampaikan sumbangan CSR IKMa kepada Persatuan Kadazan Dusun Murut Muslim Semalaysia, turut kelihatan Mohd Ali (dua dari kanan) dan Umar (dua dari kiri).

7 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan melancarkan Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi 2021-2025 bagi meningkatkan keupayaan koperasi menjalankan perniagaan berasaskan teknologi.


Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, pelan tindakan itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Kopearsi Malaysia (IKMa) dan Angkasa.


Beliau berkata, pendigitalan koperasi merupakan antara fokus utama KUSKOP dalam menyediakan program intervensi bagi memulihkan semula perniagaan koperasi mengikut norma baharu.


Ewon ketika berucap pada majlis itu.

“KUSKOP melalui kerjasama SKM, IKMa dan ANGKASA akan melancarkan Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi 2021-2025 menggariskan inisiatif-inisiatif yang akan dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan koperasi dalam menjalankan perniagaan berasaskan teknologi.


“KUSKOP yakin dengan adanya pelan tersebut ia mampu membawa perubahan dan mentransformasikan gerakan koperasi ke arah pendigitalan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bicara Ilmu Ramadan: Softlankan Hatimu, anjuran IKMa, di Hotel Hilton, di sini, semalam.



Ewon berkata, koperasi perlu beralih daripada menjalankan perniagaan secara konvensional kepada adaptasi teknologi dan digitalisasi kerana pemasaran melalui platform digital dan pembayaran secara online amat penting dalam norma baharu perniagaan.


“Oleh itu saya menyarankan agar koperasi mempelajarinya untuk memperluas lagi skop perniagaan mereka,” katanya.


Beliau juga berharap agar lebih banyak koperasi baharu diwujudkan di Sabah agar aktiviti keusahawanan melalui gerakan koperasi dapat dikembangkan.


“Sehingga Disember tahun lepas, sebanyak 1,706 koperasi didaftarkan di Sabah dengan keanggotaan seramai 343,230 orang. Manakala syer dan yuran terkumpul adalah sebanyak RM220 juta, asset terkumpul bernilai RM826.44 juta dan perolehan sebanyak RM437.15 juta.


Ewon bergambar bersama Persatuan Orang Kerdil Sabah.

“Angka ini menunjukkan gerakan koperasi di Sabah juga berkembang dan mempunyai potensi besar untuk dibangunkan bagi meningkatkan pendapatan masyarakat terutamanya golongan B40.


Beliau berkata, seramai 2.78 juta atau 40 peratus daripada jumlah isi rumah seluruh negara merupakan golongan B40.


“Justeru, gerakan koperasi boleh memainkan peranan penting membantu meningkatkan kesejahteraan hidup dan ekonomi golongan B40 di bandar dan luar bandar khususnya dalam menangani kos sara hidup yang tinggi,” katanya.



Ewon juga menyarankan semua koperasi di Sabah mendapatkan khidmat nasihat dan mengenal pasti peluang serta kemudahan melalui agensi-agensi di bawah KUSKOP sama ada pembiayaan atau geran bantuan.


“Bagi usahawan, mereka boleh mendapatkan program-program pembiayaan bersesuaian daripada agensi TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), SME Bank dan SME CORP. Manakala untuk Koperasi pula, kita ada Bank Rakyat, SKM dan IKMa,” katanya.


Katanya lagi, dalam memperkasakan gerakan koperasi ke arah yang lebih cemerlang, enam teras utama Malaysia Madani harus diterapkan iaitu Mampan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.



“Kami di KUSKOP sentiasa komited membantu dan membimbing koperasi terus berkembang dan maju ke hadapan,” katanya.


Turut hadir Ketua Pengarah IKMa Datuk Mohd Ali Mansor, Timbalan Pengerusi Eksekutif SKM Datuk Umar Sarim Saidin, Setiausaha Bahagian Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Azizul Alias, Pengerusi Perhubungan Angkasa Sabah Dr Zhamriee Ghulam Rasul dan Timbalan Ketua Pengarah IKMa Mohd Zaib Mat Yunus.


Pada majlis itu, Ewon turut menyampaikan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) IKMa sejumlah RM12,000 kepada enam persatuan iaitu Madrasah Darul Hadis DarSa Sabah, Persatuan Orang Kerdil Sabah, Sekolah Rendah Islam Kota Kinabalu (SRI KK), Society for the Prevention of Cruelty to Animals Kota Kinabalu (SPCA KK), Masjid IPD Penampang dan Persatuan Kadazan Dusun Murut Muslim Semalaysia. Setiap persatuan menerima sumbangan sebanyak RM2,000.



Ewon (tengah) bergambar bersama semua penerima sumbangan CSR IKMa.

bottom of page