KUSKOP alu-alukan hasrat perusahaan besar bangunkan PMKS sebagai vendor dan francaisi - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KUSKOP alu-alukan hasrat perusahaan besar bangunkan PMKS sebagai vendor dan francaisi - Ewon


Ewon (tengah) diberikan penerangan ringkas mengenai pemprosesan ayam di kilang itu.

2 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


REMBAU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengalu-alukan hasrat perusahaan-perusahaan besar mengembangkan perniagaan mereka dengan turut sama membangunkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).


Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, ini bagi membantu kerajaan membangunkan komuniti PMKS dan koperasi menjadi usahawan vendor atau usahawan francaisi.


“Hari ini saya memenuhi undangan melawat kilang perusahaan Worldsign Industries di Rembau, Negeri Sembilan. Kumpulan syarikat ini memiliki rantaian bekalan daripada ladang ternakan ayam, kilang pemprosesan, rangkaian logistik dan kedai pengguna serta pelbagai rakan strategik.


“Jenama syarikat ini yang dikenali ramai di Semenanjung adalah produk ayam mentah HyFresh dan rangkaian kedai pengguna ABT Fresh dan Frozen Food Supply.


“Oleh itu, saya menyokong hasrat syarikat ini mengembangkan rangkaian bekalan dan rakan strategik ke Sabah dan Sarawak,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Kilang Perusahaan WorldSign Industries, di sini, hari ini.


Turut serta dalam kunjungan itu, pengurusan tertinggi Bank Rakyat, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Bahagian Francais dan Pembangunan Vendor KUSKOP.


Ewon turut mengalu-alukan hasrat syarikat itu bekerjasama dengan Kerajaan Negeri serta ladang kontrak dengan koperasi dan individu di Sabah.


“Berdasarkan taklimat yang diberikan, syarikat ini sudah mempunyai rangkaian yang luas di Semenanjung dan saya berharap agensi-agensi kementerian dapat membantu menyediakan perkhidmatan yang diperlukan untuk merealisasikan hasrat syarikat ini mengembangkan rangkaian perniagaan mereka.


“Syarikat ini juga berminat mendaftarkan jenama rangkaian kedai mereka untuk francais, sekaligus membuka peluang kepada usahawan francaisi di seluruh negara,” katanya.


Ewon dan rombongan diberikan taklimat korporat mengenai syarikat WorldSign Industries dan kemudiannya dibawa meninjau pusat pemprosesan, pembungkusan dan penyejukbekuan ayam.


Taklimat disampaikan oleh Pengarah Urusan Worldsign Industries Sdn.Bhd, Paul Khoo.

bottom of page