Kuskop bantu usahawan bumiputera berdepan masalah pengurusan kewangan: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kuskop bantu usahawan bumiputera berdepan masalah pengurusan kewangan: Ewon


Datuk Ewon Benedick pada sidang Dewan Rakyat.


28 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bekerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk Program Intervensi Peluang Kedua bagi membantu usahawan yang berdepan masalah pengurusan kewangan serius dan berisiko muflis.


Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, Memorandum Persefahaman (MoU) di antara AKPK dengan TEKUN Nasional dan SME Corporation Malaysia telah ditandatangani pada 3 Februari 2023.


“Kerjasama itu bertujuan memberi kesedaran kepada para usahawan mengenai amalan pengurusan kewangan berhemat sebagai budaya hidup melalui ceramah pendidikan kewangan, khidmat nasihat kewangan dan program Pengurusan Kredit yang dilaksanakan oleh AKPK,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.


Beliau menjawab soalan Datuk Haji Awang Hasim (Pendang) yang bertanya langkah jangka panjang diambil bagi mengurangkan kadar bankrupsi dalam kalangan usahawan Bumiputera yang baru serta meningkatkan kemampanan golongan terbabit.


Ewon berkata, bermula 1 Mac 2023, kerajaan juga telah melaksanakan inisiatif untuk melepaskan individu yang bankrap bagi kategori hutang berskala kecil iaitu jumlah tuntutan hutang yang diperakukan dengan jumlah RM500,000 dan ke bawah dengan bersyarat.


"Kementerian saya juga akan meningkatkan lagi promosi program-program latihan mengenai ilmu pengurusan kewangan kepada usahawan yang ditawarkan oleh Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) sebagai inisiatif membimbing mereka seterusnya mengelak daripada mengalami kebankrapan.


"Program-program itu termasuklah Latihan Asas Keusahawanan (KAK), Latihan Asas Industri (INBT), Latihan Asas Kewangan, Program Latihan Bisnes, Program Konsultasi Bisnes (e-BizClinic), Program Bimbingan Jualan Atas Talian, Program Bimbingan Bisnes Bumiputera (IBBC), Program Bimbingan Pembangunan Produk dan Program Bimbingan Pembangunan Menu," katanya.


Beliau berkata, pada tahun 2022, seramai 664 usahawan diberi kesedaran mengenai ketersediaan peluang kedua menerusi pelbagai inisiatif yang disediakan oleh kerajaan.


Katanya, daripada jumlah itu, seramai 40 usahawan dipilih mengikuti Program Bimbingan Khas INSKEN selama empat bulan bermula 17 Oktober 2022.


“Sebagai usaha membantu mengurangkan kadar kebankrapan dalam kalangan usahawan, Kerajaan telah memperkenalkan Perkiraan Sukarela dalam Akta Insolvensi 1967 [Akta 360] yang berkuatkuasa 6 Oktober 2017.


“Penghutang boleh memohon perintah interim daripada mahkamah untuk penggantungan prosiding kebankrapan sementara rundingan diadakan di antara penghutang dengan pemiutang berhubung pelan cadangan bayaran balik hutang,” katanya.


Selain itu katanya, Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) turut meminda peruntukan perenggan 5(1)(a) Akta 360 melalui Akta Insolvensi (Pindaan) 2020 [Akta A1624] yang diwartakan pada 22 Oktober 2020 dan berkuatkuasa sejak 1 September 2021.


Katanya, melalui pindaan tersebut, nilai had minima keberhutangan dinaikkan kepada RM100,000.


“Susulan pindaan peruntukan tersebut, statistik MdI mendapati terdapat penurunan bagi jumlah kes kebankrapan yang direkodkan.


“Pada tahun 2022, jumlah kes kebankrapan yang direkodkan sebanyak 5,695 berbanding tahun 2021 berjumlah 6,554 kes,” katanya.


Ewon berkata, MdI juga telah dan sedang melaksanakan pelbagai program bagi mewujudkan kesedaran masyarakat tentang isu muflis dengan melaksanakan program bersama masyarakat serta MdI Prihatin.


“MdI turut menggunakan saluran sosial media bagi menyampaikan maklumat berkaitan dan antara kumpulan sasar yang difokuskan adalah usahawan bumiputera,” katanya.


bottom of page