top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kuskop beri mandat CEDAR laksana program pembangunan kapasiti keusahawanan

Ewon (tengah) memotong kek sebagai simbolik pelancaran majlis itu, sambil disaksiksn oleh Suriani (dua dari kiri), Aria Putera (dua dari kanan), Mohammad Hardee (kiri) dan Amirul

20 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memberikan mandat kepada Centre For Entrepreneur Development and Research (CEDAR) untuk menerajui beberapa program pembangunan kapasiti keusahawanan dengan dana keseluruhan bernilai RM11.5 juta tahun ini.


Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, antara program itu ialah Skim Insentif Kelestarian, Program Pembangunan Kapasiti Usahawan Industri Halal, Program Rintis Pemantapan dan Pendaftaran Harta Intelek serta Skim Juara Lestari.


“Usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) masih memerlukan program peningkatan kapasiti dan keupayaan agar pembangunan perniagaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

“Justeru, KUSKOP mengiktiraf kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan oleh CEDAR dalam memacu pencapaian sektor ini.

Ewon ketika berucap pada majlis itu.

“Program-program pembangunan kapasiti keusahawanan otu ialah Skim Insentif Kelestarian RM10 juta; Program Pembangunan Kapasiti Usahawan Industri Halal dengan dana RM400 ribu bagi bantuan pematuhan pensijilan halal, Program Rintis Pemantapan dan Pendaftaran Harta Intelek dengan dana RM100 ribu serta Skim Juara Lestari,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Centre For Entrepreneur Development and Research (CEDAR) dan Pelancaran Program Pembangunan Perusahaan Sosial SME Bank, di sini, hari ini.


Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Sri Suriani Dato' Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian(Dasar dan Pemantauan) Noor Afifah Abdul Razak, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Datuk Wira (Dr.) Aria Putera Ismail, Ketua Pegawai Strategi Korporat SME Bank Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Centre For Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) Amirul Imran Ahmat.


Ewon berkata, kerajaan menyasarkan agar PMKS memberi sumbangan 45% kepada KDNK, 72% kepada penjanaan pekerjaan dan 25% kepada jumlah nilai eksport.

“Penggerak utama kepada pertumbuhan ini adalah melalui intervensi yang holistik dan inklusif yang memerlukan semua pihak menggembleng tenaga dan memainkan peranan masing-masing,” katanya.


Bagaimanapun katanya, sokongan kewangan sahaja tidak membuahkan hasil sebaliknya memerlukan usaha berterusan yang dilaksanakan oleh SME Bank melalui CEDAR dalam menyediakan kemudahan.

“Penubuhan CEDAR telah memberikan impak besar terhadap pemerkasaan, peningkatan keupayaan dan kapasiti PMKS negara.

“Saya berharap CEDAR akan terus mara dan hadir dengan pelbagai lagi kemudahan inovatif seiring perkembangan dan keperluan sektor PMKS,” katanya.

Comments


bottom of page