KUSKOP buat penarafan perusahaan sosial, sediakan dana pembangunan - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KUSKOP buat penarafan perusahaan sosial, sediakan dana pembangunan - Ewon

Ewon (empat dari kanan), Kiren (dua dari kanan) bergambar bersama pegawai dan tenaga pengajar akademi itu.

5 Februari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia (KUSKOP) sedang melaksanakan penarafan perusahaan sosial di negara ini kata menterinya, Datuk Ewon Benedick.


Menurut beliau, penarafan tersebut bertujuan untuk mengesahkan status perusahaan sosial bagi mendapatkan akses kepada pelbagai sokongan dan peluang yang lebih besar untuk mengembangkan perniagaan.


"Kementerian melaksanakan dua jenis penarafan iaitu Perusahaan Sosial Asas dan Perusahaan Sosial Diakreditasi.

Ewon begitu kagum melihat salah satu hasil kerja pelajar berkeperluan khas.

"Perusahaan sosial asas haruslah memenuhi deskripsi perusahaan sosial yang berkuatkuasa di Malaysia dan sekurang-kurangnya telah beroperasi selama enam bulan. Perusahaan ini juga haruslah didorong untuk menangani sosial dan alam sekitar.


"Manakala perusahaan sosial diakreditasi pula merupakan penarafan susulan bagi bagi perusahaan yang sudah beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun dan mempunyai laporan pengukuran impak sosial dan alam sekitar," katanya.


Menurut Ewon, kementeriannya juga menyediakan peruntukan pembangunan perusahaan sosial yang telah diberikan penarafan termasuk Kursus Asas Keusahawanan Sosial.

"SME Bank dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) merupakan dua agensi kementerian yang akan terlibat membangunkan perusahaan sosial di negara ini melalui dana pembangunan dan kursus keusahawanan. Kementerian pula akan melaksanakan penarafan atau akreditasi kepada perusahaan-perusahaan sosial ini," katanya.


Ewon menyatakan demikian selepas mengadakan lawatan ke Infinite Minds Academy di Bandar Sunway di sini, hari ini.


Akademi tersebut merupakan satu perusahaan sosial yang memberikan latihan khas berasaskan digital, membangun dan memasarkan pelbagai produk digital dan lain-lain produk yang dihasilkan oleh remaja-remaja berkelainan upaya.

Kiren menyampaikan taklimat ringkas menganai akademiknya.

Sementara itu, Pengarah syarikat akademi Kiren Kaur menyatakan ucapan terima kasih kepada Ewon di atas keprihatinan dan komitmen beliau membangunkan perusahaan sosial di negara ini termasuk meninjau sendiri aktiviti-aktiviti syarikat yang terlibat dalam perusahaan tersebut.


"Beberapa hari yang lepas, Chamber for Social Enterpreneur and Cooperative telah mengadakan kunjungan ke pejabat beliau dan saya telah menyatakan perusahaan sosial yang saya bangunkan. Beliau menyatakan akan mengunjungi akademi saya dan hari ini saya gembira dapat menerima kunjungan beliau," katanya.

bottom of page