top of page
  • Wartawan Nabalu News

KUSKOP garis enam aspirasi 2024, perkukuhkan PMKS: Ewon

Ewon dan Suriani mengiringi Ahmad Zahid melawat pameran agensi-agensi KUSKOP, pada majlis itu.

8 Januari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kementeriannya menggariskan enam aspirasi tahun 2024 bagi meneruskan program pembangunan dan pengukuhan Perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini.


Beliau berkata, aspirasi itu ialah, meningkatkan penyertaan PMKS dalam industri berimpak tinggi (HGHV) bagi memperkasa rantaian bekalan domestik dan rantaian nilai global serta memperluaskan akses dan peluang pembiayaan bagi meningkatkan pengembangan perniagaan.


“Selain itu, kementerian juga akan meningkatkan kapasiti dan keupayaan usahawan supaya kalis cabaran dan berdaya maju, memperkasa PKS supaya bersedia menerokai pasaran modal menerusi peningkatan kesedaran, kesediaan kemampanan dan tadbir urus korporat.


“Seterusnya memacu pertumbuhan Gerakan Koperasi supaya lebih kompetetif melalui transformasi sokongan koperasi dan memperkukuh ekosistem keusahawanan sosial melalui perluasan peranan perusahaan sosial untuk meningkatkan taraf sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Peluncuran Pembangunan Kadamaian dan Sambutan Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu 2024, di Dewan Kadamaian Square Taginambur, di sini, hari ini.


Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Manteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.


Turut hadir Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Phoong Jin Zhe, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato Sri Suriani Dato Ahmad, Adun Usulan Datuk Seri Salleh Tun Said, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta para pemimpin negeri.


Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, pada tahun ini kementeriannya juga akan melaksanakan beberapa inisiatif dan projek baharu termasuk Program Rangsangan Koperasi Pelancongan di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Projek Tamu Desa.


Beliau berkata, Kerjasama merentasi kementerian dan agensi dalam pembangunan dan pengukuhan PMKS amat penting.


“KUSKOP sebagai kementerian yang bertanggungjawab dalam pembangunan PMKS sentiasa berusaha merealisasi hasrat Kerajaan Perpaduan untuk merangsang lebih banyak penyertaan PMKS dalam sektor keusahawanan menerusi pelbagai inisiatif seperti dana pembiayaan dan pembangunan keupayaan bagi memastikan sumbangan PMKS kepada KDNK dapat dipertingkat kepada 50% menjelang tahun 2030 sebagaimana yang digariskan di dalam Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030),” katanya.


Mengenai sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2024, Ewon berkata, kehadiran masyarakat pelbagai kaum dan agama dalam majlis-majlis Rumah Terbuka merupakan satu petunjuk bahawa perpaduan dan keharmonian di kalangan pelbagai kaum dan agama di negara kita terus subur.


“Mari kita tunjukkan kepada dunia bahawa di sebalik kepelbagaian dan kemajmukan rakyat, kita tetap boleh bersatu padu, hidup berharmoni dan saling hormat-menghormati serta boleh merayakan sambutan kebudayaan dan keagamaan dalam suasana aman damai.


“Semangat inilah juga yang terserlah di dalam pimpinan Kerajaan Perpaduan hari ini, di sebalik keunikan ideologi politik kita tetap boleh segulai sejalai dalam mentadbir dan memimpin negara ini.


“Kebersamaan kita dalam majlis seperti ini adalah respon terbaik kita kepada lontaran-lontaran ekstrem terkait kaum dan agama yang boleh mencetuskan kegusaran di kalangan rakyat jika tidak dikawal.


“Yakinlah bahawa Kerajaan Perpaduan sentiasa mengutamakan agenda perpaduan dan keharmonian kaum serta kestabilan politik agar kita dapat membangunkan negara kita ini dengan lebih baik,” katanya.


Majlis itu dihadiri lebih 5,000 orang pengunjung dari pelbagai kaum dan agama.


Pada majlis itu Ahmad Zahid meluncurkan tiga projek menaiktaraf Jalan Luar Bandar (JLB) Kedamaian, iaitu Jalan Tengkurus Lahanas Siba-Lahanas Sokid dan Jalan Sayap yang sudah dalam proses pelaksanaan serta Jalan Podos Taginambur yang dalam proses pelantikan kontraktor.


Kesemua projek ini melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM244 juta di bawah peruntukan KKDW.


Beliau turut melancarkan Digital Desa satu inisiatif daripada Bank Rakyat dalam membudayakan gaya hidup tanpa tunai dalam kalangan rakyat dan usahawan luar bandar serta menyampaikan sumbangan Awal Pengajian daripada Yayasan Bank Rakyat kepada seramai 97 pelajar kawasan Kadamaian.


Ahmad Zahid mengumumkan kelulusan sebanyak 40 unit rumah perumahan penduduk rakyat termiskin (PPRT) kawasan Kadamaian.


Pelbagai acara diadakan sempena majlis itu, antaranya Jualan Madani Koperasi yang menawarkan harga barang keperluan harian lebih rendah daripada harga biasa di pasaran dan pameran 10 agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

bottom of page