KUSKOP jalin kerjasama strategik bersama 29 syarikat Anchor, perkasakan PPV
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KUSKOP jalin kerjasama strategik bersama 29 syarikat Anchor, perkasakan PPV

Ewon bergambar bersama wakil syarikat yang menerima Anugerah Khas Prestasi Cemerlang pada majlis itu.

5 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menjalin kerjasama strategik bersama 29 syarikat Anchor iaitu pemain-pemain industri utama di negara ini bagi menjayakan Program Pembangunan Vendor (PPV).


Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, platform PPV membuka peluang kepada para vendor berdaftar dengan syarikat Anchor mendapat bimbingan latihan, teknikal dan khidmat nasihat serta pembangunan penyelidikan.


Beliau berkata, bagi menjamin kesinambungan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera dan mencapai objektif Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, kementeriannya akan terus memperkasakan PPV.


“Dalam menjayakan program ini, KUSKOP telah pun menjalinkan kerjasama strategik bersama 29 syarikat Anchor yang terdiri daripada pemain-pemain industri utama di negara ini, di mana UEM Edgenta Berhad adalah salah satu daripada syarikat Anchor tersebut.

Ewon ketika berucap pada majlis itu.

“Program-program di bawah platform PPV yang menjadi tunjang kejayaannya ialah Geran Inovasi dan Pengkomersialan Vendor (GIPV), Program Pembangunan Kapasiti dan Keupayaan Vendor (PPKV) dan Double Deduction Tax Incentives (DDTI),” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap ketika berucap merasmikan UEM Edgenta Vendor’s Day 2023, di sini, hari ini.


Ewon berkata, GIPV merupakan bantuan dalam bentuk geran kepada syarikat vendor bagi menggalakkan penghasilan produk/ perkhidmatan baharu atau menambahbaik produk/ perkhidmatan dan proses di syarikat vendor Bumiputera untuk mengoptimumkan produktiviti syarikat.


“Manakala PPKV pula adalah bantuan dalam bentuk geran kepada syarikat vendor bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan syarikat vendor melalui latihan, akreditasi, pensijilan dan akses pasaran seterusnya meningkatkan peluang syarikat vendor menembusi pasaran domestik dan antarabangsa.

“DDTI merupakan insentif bagi syarikat Anchor untuk membuat tuntutan pengecualian cukai berdasarkan perbelanjaan bagi program-program pembangunan vendor, seperti program pembangunan kapasiti, pensijilan dan akreditasi antarabangsa.


“Jumlah insentif yang dibenarkan di bawah program ini tertakluk kepada had maksima perbelanjaan sebanyak RM500,000,” katanya.


Beliau berkata, melalui inisiatif yang digerakkan oleh kementerian dengan kerjasama syarikat-syarikat Anchor seperti UEM Edgenta Berhad, ia sekaligus dapat membangunkan keupayaan dan mengasah potensi vendor Bumiputera.


Katanya lagi, pelaksanaan PPV penting dalam Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 sebagai inisiatif utama Teras Strategik Memantapkan Keupayaan dan Prestasi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Inisiatif ini memfokuskan kepada penyertaan syarikat Anchor baharu yang terdiri daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Syarikat Multinational (MNC), pewujudan vendor berbilang tingkat dan perluasan sektor berpertumbuhan tinggi,” katanya.


Ewon berkata, vendor PPV adalah sebahagian daripada ekosistem PMKS merangkumi hampir satu juta pertubuhan perniagaan di Malaysia dan menyumbang hampir 37.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2022.


KUSKOP berhasrat untuk meningkatkan sumbangan PMKS tempatan kepada KDNK sehingga 42 peratus pada 2023, dan 50 peratus menjelang 2030 di bawah DKN 2030.


Turut hadir Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Usahawan) KUSKOP Datuk Hj. Zamri Salleh, Pengarah Bukan Eksekutif Bebas UEM Edgenta Berhad Tan Sri Dr. Azmil Khalid dan Ketua Pegawai Kewangan UEM Edgenta Berhad Hillary Chua.

bottom of page