top of page

KUSKOP komited laksana pelbagai strategi bangunkan usahawan Bumiputera

  • nabalunews
  • Oct 2
  • 2 min read

ree

2 Oktober 2025


SHAH ALAM: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) komited melaksanakan pelbagai strategi bagi memperkasa pembangunan usahawan Bumiputera ke arah menjadikan mereka lebih berdaya saing di peringkat domestik dan antarabangsa.


Menterinya Datuk Ewon Benedick, berkata komitmen ini selaras dengan pelan strategik yang digariskan dalam Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dan strategi kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) untuk memperhebatkan penskalaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).


“PuTERA35 menetapkan sasaran utama bagi Pemacu 2 iaitu Peningkatan Daya Saing dan Penskalaan, dengan matlamat meningkatkan sumbangan perusahaan Bumiputera kepada KDNK sebanyak 15% menjelang tahun 2035.

ree

“Strategi ini penting untuk memastikan usahawan Bumiputera terus berkembang dan menyumbang secara signifikan kepada pembangunan sosioekonomi negara,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Lawatan Kerja ke Syarikat Glide Technology Sdn. Bhd. di sini, hari ini.


Ewon berkata, sesi lawatan ini merupakan salah satu inisiatif KUSKOP mendekati serta menyantuni syarikat Bumiputera yang telah membuktikan keupayaan berdaya saing.

ree

“Glide Technology Sdn. Bhd. sebelum ini telah memperoleh pengiktirafan 4 bintang di bawah SME Competitiveness Rating for Enhancement (SCORE) oleh SME Corporation Malaysia.


“Pencapaian ini membuktikan keupayaan syarikat menepati pelbagai penilaian daya saing ketat dan seterusnya meletakkan syarikat ini dalam kelompok PMKS berpotensi tinggi untuk berkembang ke peringkat global,” katanya.


Katanya lagi, antara fokus utama kementerian ialah melalui pelaksanaan Program Pembangunan Vendor (PPV) yang menjadi platform penting untuk melahirkan syarikat Bumiputera yang inovatif, kompetitif dan mampu menembusi pasaran antarabangsa.

ree

Ewon berkata, setakat ini, KUSKOP telah menjalinkan kerjasama strategik bersama 38 syarikat Anchor, terdiri daripada pemain industri utama negara, bagi memberi peluang kepada vendor mendapat bimbingan latihan, khidmat nasihat teknikal serta pembangunan penyelidikan.


“Dua inisiatif utama di bawah PPV ialah Geran Inovasi dan Pengkomersialan Vendor (GIPV) dan Program Pembangunan Kapasiti dan Keupayaan Vendor (PPKV).


“GIPV merupakan insentif untuk merangsang pertumbuhan inovasi dan pengkomersialan produk oleh syarikat vendor Bumiputera, manakala PPKV memberi fokus kepada peningkatan keupayaan melalui latihan, akreditasi, pensijilan dan akses pasaran,” katanya.

ree

Glide Technology Sdn. Bhd. merupakan salah satu syarikat vendor yang menerima geran PPKV pada Disember 2024. Geran tersebut digunakan untuk membeli peralatan pengujian berteknologi tinggi seperti Model ADTR-2K Plus Automatic Dielectric Constant Tan Delta and Resistivity Test Set serta Automatic 2 Side Labeling Machine bagi menyokong pengeluaran produk pelincir dan petroleum.


Dalam lawatan itu, Ewon turut merasmikan makmal baharu syarikat yang dilengkapi pelbagai peralatan moden hasil sokongan PPKV.


Beliau berharap kemudahan itu akan memperkukuh kapasiti penyelidikan dan pembangunan (R&D) syarikat untuk memenuhi keperluan sektor tenaga Malaysia dan serantau.

ree

Selain itu, Ewon juga melancarkan MPOB-GLIDE Palm Oil-Based Insulating Oil, minyak penebat berasaskan 100% minyak sawit pertama yang dihasilkan oleh syarikat Bumiputera, hasil kerjasama strategik dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).


“Saya merakamkan penghargaan kepada MPOB yang telah membantu syarikat dalam inovasi dan penciptaan produk baharu. Saya berharap kerjasama strategik seperti ini akan diperluaskan lagi pada masa hadapan,” katanya.


Beliau berharap agar Glide Technology Sdn. Bhd. terus memperkukuh kedudukannya dalam ekosistem keusahawanan negara, mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.


“Semoga kejayaan syarikat ini akan berterusan dan satu hari nanti disenaraikan di Bursa Malaysia. KUSKOP akan terus bekerjasama dengan semua pihak dalam ekosistem keusahawanan bagi menyokong aspirasi Malaysia Madani, dan saya yakin usaha bersepadu ini akan membuahkan hasil untuk mewujudkan bangsa usahawan serta Keluarga Malaysia yang makmur,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page