top of page

KUSKOP lancar pembiayaan MPPK 2.0, sifar kadar keuntungan untuk penjaja, peniaga kecil

  • Wartawan Nabalu News
  • Sep 7, 2024
  • 2 min read

7 September 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


TENOM: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melancarkan Pembiayaan Mikro untuk Penjaja dan Peniga Kecil (MPPK 2.0) oleh Bank Rakyat, pembiayaan sifar kadar keuntungan khusus untuk para penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Bank Rakyat menyediakan sebanyak RM8 juta dana peruntukan untuk melaksanakan pembiayaan itu.


“Jumlah pembiayaan sehingga RM10,000.00 ditawarkan bergantung kepada kelayakan, keupayaan bayaran ansuran dan keperluan perniagaan pelanggan berdasarkan penilaian Bank Rakyat.


“Dengan pembiayaan pada kadar keuntungan 0%, saya yakin ini akan memberikan kelegaan kepada usahawan mikro dalam menguruskan kewangan mereka dengan lebih berkesan dan fokus kepada pembangunan perniagaan.


“Inisiatif ini merupakan satu lagi bukti komitmen agensi di bawah KUSKOP untuk membantu usahawan mikro, khususnya penjaja dan peniaga kecil dalam memastikan kelangsungan perniagaan mereka,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Santai Namun Sampai dan Peluncuran Logo Program Pembangunan Premis (Tamu Desa), di Dewan Datuk OKK Sanggau, di sini, hari ini.


Mengenai Projek Tamu Desa di Sabah dan Sarawak, program terbaru KUSKOP yang mula dilaksanakan tahun ini, Ewon berkata, sebanyak 36 tapak Tamu Desa di Sabah termasuk dua di Tenom dan 13 tapak Tamu Desa di Sarawak sedang dalam pembinaan.


“Projek Tamu Desa yang sedang dilaksanakan ini melibatkan penaiktarafan dan bina baharu melibatkan kos sebanyak RM9 juta untuk fasa 1 tahun 2024.


“Matlamat utama pelaksanaan projek Tamu Desa adalah untuk menyediakan atau menaik taraf ruang niaga atau pusat penjaja dengan infrastruktur yang lebih kondusif serta memberi akses pemasaran produk jualan yang lebih berkesan.


“Ia sekaligus meningkatkan sosio-ekonomi penduduk setempat melalui peluang berniaga serta mewujudkan peluang pekerjaan baru kepada penduduk setempat,” katanya.


Ewon berkata, bagi Tenom, KUSKOP sedang menaik taraf dua tapak Tamu Desa iaitu di Melalap dan Pekan Tenom melibatkan peruntukan sebanyak RM400,000 dan dijangka siap sepenuhnya awal Oktober ini.


Katanya, apabila siap kelak, ia akan memberi manfaat kepada lebih 150 peniaga.


“KUSKOP berhasrat menjadikan Program Pembangunan Premis (Tamu Desa) di Sabah dan Sarawak ini sebagai program tahunan Kementerian.


“Oleh itu, KUSKOP menyediakan dan melancarkan logo khusus Tamu Desa pada hari ini iaitu logo yang akan digunakan disetiap tapak projek Tamu Desa,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page