Kuskop pastikan peruntukan dibelanja seperti dimandatkan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kuskop pastikan peruntukan dibelanja seperti dimandatkan


10 Okt 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick meminta semua agensi di bawah kementeriannya supaya membelanjakan peruntukan yang disediakan seperti yang dimandatkan.


Beliau berkata, ini penting bagi memastikan peruntukan yang disediakan kerajaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk rakyat.


“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menerima teguran daripada Laporan Ketua Audit Negara mengenai SME Corporation Malaysia (SME Corp).


“Perkara ini telah diambil tindakan dan dibincangkan selepas Laporan Ketua Audit 2021 dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.


“Semua peruntukan kepada kementerian dan agensi harus dibelanjakan seperti mana dimandatkan dan saya akan minta maklumat daripada SME Corp apa tindakan yang telah diambil,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sebelum mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) 2023, di The Royale Bintang Hotel, di sini, hari ini.


Ewon berkata, pimpinan kementerian akan memastikan semua teguran dapat ditangani terutamanya dalam belanjawan akan datang.

bottom of page