KUSKOP perkasa gerakan koperasi di Pulau Langkawi
- nabalunews
- Aug 16, 2024
- 2 min read

15 Ogos 2024
PULAU LANGKAWI: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menperkasakan gerakan koperasi di sini melalui penganjuran Program Memasyarakatkan Koperasi (MASKOP) dan Program Transformasi dan Digitalisasi (DigiKoP).
Program itu yang diadakan di Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Program MASKOP bertujuan memupuk semangat berkoperasi di samping meningkatkan pengetahuan orang ramai berkaitan koperasi.
Program ini juga merupakan satu platform untuk menghebahkan perkhidmatan dan produk yang ditawarkan gerakan koperasi kepada orang awam.
Antara pengisian menarik ialah forum bertajuk Manfaat Berkoperasi dibarisi oleh panel jemputan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bagi menerangkan lanskap koperasi negara serta fungsi dan peranan masing-masing dalam menggerakkan dan membangunkan sektor koperasi.
Program ini dihadiri seramai 250 orang peserta terdiri daripada penjawat awam dan anggota koperasi sekitar Pulau Langkawi, Kedah.
Selain itu, melalui Program DigiKoP pula, KUSKOP dengan kerjasama MYNIC salah satu agensi di bawah Kementerian Digital telah menyampaikan taklimat berkaitan penyampaian maklumat secara digital sebagai salah satu langkah untuk mempersiapkan anggota koperasi mengadaptasi penggunaan teknologi digital dalam pengurusan dan aktiviti perniagaan koperasi.
KUSKOP juga telah menjemput Koperasi Tanjong Keramat bagi berkongsi taklimat inisiatif digitalisasi berkaitan aplikasi TaptapLah.
Dalam program yang sama, Ewon turut menyampaikan bantuan Jejak Koperasi (JEJAK) untuk gerakan Koperasi Negeri Kedah diwakili oleh Koperasi Pembangunan Daerah Langkawi Berhad sebanyak RM200,000 serta penyerahan plaque IKMa Latih kepada dua koperasi di Langkawi.
Selain itu, atas dasar keprihatinan kepada masyarakat dan komuniti, KUSKOP melalui ANGKASA turut memberikan sumbangan CSR berbentuk bakul makanan terdiri daripada barangan keperluan asas bernilai RM100 setiap bakul.
Program Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) turut diadakan di perkarangan LADA dengan tawaran potongan harga sehingga 30 peratus bagi barangan keperluan asas harian seiring dengan elemen “Kesejahteraan” Malaysia MADANI.
KUSKOP dengan kerjasama SKM juga telah menganjurkan Lawatan Jejak Koperasi ke Koperasi Koperasi Komuniti Kampung Kilim Langkawi Berhad yang menjalankan aktiviti perkhidmatan bot ke sekitar Kilim Geopark Forest, Koperasi Pengusaha dan Pemandu Kereta Sewa, Teksi dan Limosin Langkawi Berhad yang merupakan pembekal ais bagi kegunaan penduduk-penduduk sekitar Pulau Tuba.
Koperasi Komuniti Kepulauan Tuba Dan Selat Berhad yang menjalankan aktiviti pelancongan menyediakan chalet serta menjalinkan hubungan strategik dengan beberapa pengusaha tempat percutian di sekitar Pulau Tuba.
Melalui program ini, KUSKOP berharap mesej untuk membudayakan koperasi dalam kalangan setiap lapisan masyarakat dapat diperkukuhkan dan menjadikan koperasi sebagai gaya hidup dalam menangani masalah kos sara hidup yang semakin tinggi.















Comments