KUSKOP perkasa gerakan koperasi luar bandar melalui Program Jom@Coop Sabah
- nabalunews
- 4 hours ago
- 2 min read

8 November 2025
TENOM: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memperkukuh pembangunan koperasi luar bandar melalui penganjuran pelbagai program termasuk Program Jom@Coop Sabah 2025.
Menterinya Datuk Ewon Benedick, berkata, ini bagi memastikan gerakan koperasi menjadi antara pemacu utama pembangunan ekonomi luar bandar.
“KUSKOP melalui Institut Koperasi Malaysia (IKMa) akan terus memperkukuh pendidikan, latihan dan perkongsian ilmu keusahawanan bagi memastikan koperasi luar bandar kekal aktif, berdaya saing dan memberi manfaat kepada komuniti setempat.
“Program Jom@Coop merupakan antara platform strategik KUSKOP untuk menggerakkan transformasi koperasi melalui pendekatan koperasi aktif, iaitu bukan sekadar entiti perniagaan, tetapi wadah memperkukuh kesejahteraan sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Program Jom@Coop Sabah 2025 bertemakan “IKMa dan Koperasi: Koperasi Aktif, Komuniti Produktif”, di Dewan Datuk OKK Sangau Jalang, Melalap, Tenom, di sini, hari ini.

Ewon berkata, KUSKOP akan terus memastikan koperasi menjadi jentera pembangunan ekonomi rakyat berasaskan semangat kerjasama dan perpaduan di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, sebagai agensi latihan utama KUSKOP, IKMa berperanan melahirkan warga koperasi yang berpengetahuan, beretika dan berdaya saing.
“Penganjuran program IKMa di Melalap, mencerminkan keprihatinan kerajaan membangunkan koperasi di kawasan luar bandar agar masyarakat setempat tidak ketinggalan dalam arus kemajuan negara,” katanya.
Ewon turut berkongsi kisah kejayaan beberapa koperasi di Sabah, antaranya Koperasi Piisaan Tambunan Berhad, yang berjaya melaksanakan transformasi pertanian moden berasaskan sistem hidroponik sehingga memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat luar bandar.
“Selain itu, Koperasi Pelancongan Mukim Batu Puteh Kinabatangan Berhad (KOPEL), juga diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai model koperasi komuniti berasaskan pelancongan lestari dan pemuliharaan alam sekitar.

“Kejayaan ini menjadi contoh terbaik kepada koperasi lain untuk terus berinovasi dan meneroka bidang baharu yang berpotensi tinggi bagi menjana ekonomi komuniti,” katanya.
Ewon berkata, Sabah kekal sebagai antara negeri yang paling aktif dalam gerakan koperasi dengan 1,994 koperasi berdaftar, melibatkan keanggotaan seramai 375,559 orang, modal saham dan yuran sebanyak RM273.37 juta, aset bernilai RM1.008 bilion serta perolehan RM774.45 juta setakat 31 Disember 2024.
“Angka ini membuktikan potensi besar koperasi di Sabah untuk terus berkembang sebagai pemangkin ekonomi rakyat dan penyumbang kepada kesejahteraan komuniti luar bandar,” katanya.


















Comments