KUSKOP perkasa pembangunan koperasi di Sabah: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KUSKOP perkasa pembangunan koperasi di Sabah: Ewon


Hajiji, Ewon, Phoong, Suriani, Safar dan Rusli bergambar bersama wakil koperasi yang menerima anugerah pada majlis itu.

22 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyediakan program khusus untuk rakyat Sabah dalam usaha meningkatkan kesedaran dan memperkasakan pembangunan koperasi di negeri ini.


Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, antara program turun padang itu ialah pameran, bengkel, seminar serta Jualan Madani Koperasi.


“KUSKOP berharap pelaksanaan program-program libat urus dan bantuan yang diberikan kepada koperasi Sabah dapat meningkatkan penglibatan rakyat Sabah dalam koperasi serta memulihkan koperasi-koperasi yang tidak aktif.


“KUSKOP berhasrat lebih banyak koperasi ditubuhkan terutama dalam kalangan B40, OKU, miskin bandar, masyarakat luar bandar, pedalaman dan masyarakat orang asal bagi meningkatkan sosioekonomi masyarakat itu.


“Selain itu, penyertaan dalam kalangan profesional, belia dan penjawat awam juga penting bagi menyumbang idea dan pandangan dalam memastikan gerakan koperasi berkembang dinamik dan kekal relevan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika beucap sempena Perasmian Hari Koperasi Negara 2023 (HKN’23), di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.


Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Haji Noor.


Ewon berkata, bagi menggalak dan memudahkan masyarakat menubuhkan koperasi, syarat penubuhan koperasi telah dilonggarkan iaitu bilangan individu bagi mendaftarkan sesuatu koperasi asas dikurangkan daripada 50 kepada 20 orang.


"KUSKOP melalui SKM juga telah menambahbaik Garis Panduan Berkenaan Dengan Pendaftaran Koperasi (GP12) bagi memberi panduan serta tatacara kepada orang awam untuk mendaftarkan sesuatu koperasi.


“Kementerian mahu melihat lebih banyak koperasi di negeri ini bergiat aktif membangunkan ekonomi masyarakat setempat dan berjaya tersenarai dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia. Pada tahun 2022, sebanyak empat koperasi di negeri ini tersenarai dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia,” katanya.


Ewon berkata, KUSKOP komited untuk terus memberi galakan agar lebih banyak komuniti persatuan, usahawan, profesional menubuhkan koperasi bagi membuka ruang dan peluang perniagaan yang lebih luas dan menguntungkan.


Beliau berkata, berdasarkan perangkaan interim SKM tahun 2022, sebanyak 99.4 peratus atau 14,748 koperasi di Malaysia dalam kategori koperasi asas dengan tahap kemampuan secara relatifnya adalah rendah untuk beralih ke infrastruktur teknologi.

Ewon mengiringi Hajiji ketika tiba pada majlis itu.

“Bagi meningkatkan daya saing gerakan koperasi, ia memerlukan komitmen dan kerjasama padu semua pihak ke arah pembangunan infrastruktur digital serta mewujudkan ekosistem digital yang mapan,” katanya.


Beliau berkata, kementerian melalui kerjasama SKM, IKMa dan ANGKASA telah meluncurkan Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi 2021-2025 untuk gerakan koperasi meningkatkan keupayaan masing-masing dalam menjalankan perniagaan berasaskan teknologi.


“Kementerian yakin dengan adanya pelan tersebut ia mampu membawa perubahan dan mentransformasikan gerakan koperasi ke arah pendigitalan,” katanya.

Pada majlis itu turut disampaikan tiga anugerah iaitu Anugerah Koperasi IPT Terbaik (Siswa), Anugerah Koperasi Sekolah Terbaik dan Anugerah Koperasi Masjid Terbaik.


Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mohammad Yusof Apdal, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Phoong Jin Zhe,  Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim, Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong, Pengerusi Eksekutif SKM Rusli Jaafar dan ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan.

bottom of page