Kuskop salur lebih RM64 juta geran perniagaan kepada 16 usahawan Selangor
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kuskop salur lebih RM64 juta geran perniagaan kepada 16 usahawan Selangor




12 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


SHAH ALAM: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensi-agensinya menyalurkan sejumlah RM64,544,080 geran perniagaan dan kemudahan pembiayaan kepada 16 usahawan Selangor sempena Program Jelajah Usahawan dan Koperasi MADANI (PJUKM 2023) semalam.


Kesemua 16 usahawan itu adalah bimbingan agensi-agensi di bawah Kuskop iaitu SME Corporation Malaysia (SME Corp.), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), UDA Holdings Berhad, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan TEKUN Nasional.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kementeriannya sentiasa komited menyantuni komuniti usahawan dan koperasi menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif bagi memastikan kelangsungan dan kelestarian komuniti usahawan dan koperasi mendepani cabaran persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.



“Inisiatif yang disediakan termasuk bantuan latihan dan khidmat nasihat melalui agensi di bawah KUSKOP seperti INSKEN, Bank Rakyat, AIM, SME Corp, SKM dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) bagi memastikan usahawan dan koperasi terus berjaya.


“Ini selaras dengan Dasar Keusahawan Nasional 2030, untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Keusahawanan Unggul menjelang tahun 2030.


“Justeru, KUSKOP menyediakan pelbagai kemudahan pembiayaan melalui agensi-agensi kementerian. Pada tahun ini, kementerian menyasarkan seramai 543,080 usahawan dibantu melalui bajet yang diluluskan bernilai RM732,351,800 menerusi inisiatif KUSKOP dan agensi-agensinya,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Usahawan dan Koperasi Madani (PJUKM 2023) Negeri Selangor yang dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, di sini, kelmarin.


Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Senator Saraswathy Kandasami, Ketua Setiausaha kementerian Dato Sri Suriani Ahmad, ketua-ketua agensi kementerian, pegawai-pegawai kanan kementerian dan para usahawan.


Ewon berkata, selain bantuan latihan, geran perniagaan dan kemudahan pembiayaan, KUSKOP melalui UDA Holdings Berhad turut menyediakan ruang niaga yang strategik kepada komuniti usahawan dalam menyokong usaha kementeian memperkasa golongan usahawan.



“Antara ruang niaga yang disediakan oleh UDA adalah Malaysia Grand Bazaar di Bukit Bintang City Centre, Angsana Johor Bahru Mall, Angsana Ipoh Mall, Angsana Seremban, Pertama Complex di Kuala Lumpur dan Morten Walk di Melaka.


“Selain itu, UDA juga menawarkan pembiayaan dalam bentuk rebat sewa, kos pengurusan atau manfaat fasiliti,” katanya.


Beliau yakin kerajaan Selangor juga prihatin dan berusaha gigih membantu komuniti usahawan dan koperasi di negeri itu.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page