KUSKOP sedia pembiayaan tanpa cagaran bantu usahawan wanita, belia: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KUSKOP sedia pembiayaan tanpa cagaran bantu usahawan wanita, belia: Ewon


20 Februari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyediakan pelbagai bantuan dan inisiatif pembiayaan tanpa cagaran bagi membantu usahawan wanita dan belia memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka melalui empat agensi kementerian.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, agensi-agensi itu ialah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Bank Rakyat, TEKUN Nasional dan SME Corp.


Beliau berkata, keempat-empat agensi itu menyediakan pembiayaan antara RM3,000 hingga RM100,000.


Amanah Ikhtiar Malaysia menyediakan pembiayaan tanpa cagaran seperti Skim Pembiayaan Ikhtiar (SPI) I-Mesra dan Skim Pembiayaan Ikhtiar (SPI) I-Muda untuk bakal usahawan dalam kalangan wanita dan anak muda B40 dan berpendapatan rendah bagi memulakan perniagaan.


“Nilai pembiayaan Skim I-Mesra ialah di antara RM5,000 hingga RM10,000 dan pembiayaan bagi Skim I-Muda pula ialah RM3,000 hingga RM30,000.


“Pada tahun 2022, seramai 80,866 usahawan telah menerima pembiayaan skim I-Mesra dengan peruntukan sejumlah RM722.70 juta dan sebanyak 97,229 usahawan menerima pembiayaan di bawah skim I-Muda melibatkan peruntukan berjumlah RM667.71 juta,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.


Ewon berkata, Bank Rakyat pula menawarkan program untuk membantu usahawan wanita tanpa melibatkan cagaran melalui program BizLady.


“Antara ciri produk pembiayaan bagi usahawan mikro ialah pembiayaan RM50,000 untuk tempoh sehingga lima tahun. Bagi usahawan PKS pula, pembiayaan sehingga RM1 juta disediakan untuk tempoh sehingga tujuh tahun.


“Pada tahun 2022, sebanyak 1,452 usahawan wanita menerima pembiayaan BizLady melibatkan peruntukan berjumlah RM63.21 juta,” katanya.


Katanya lagi, Bank Rakyat juga menyediakan program pembiayaan kepada graduan melalui Graduate Mentoring Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) merangkumi proses latihan dan bimbingan.


Ewon berkata, program ini dilaksanakan antara tiga hingga enam bulan serta pakej pembiayaan sebanyak RM100,000 bagi peserta program yang berjaya menamatkan latihan.


“Sebanyak 2,236 graduan UiTM termasuk 1,755 wanita telah mengikuti penerangan dan taklimat berkaitan program ini pada tahun 2022,” katanya.


Beliau berkata, Tekun Nasional telah memperkenalkan program pembiayaan khas tanpa cagaran untuk usahawan yang menjalankan perniagaan secara dalam talian melalui Skim Pembiayaan Online TEKUN (SPOT), mulai tahun ini.


“Pembiayaan khas ini terbuka kepada semua peringkat umur dan jantina termasuk usahawan wanita dan anak muda, dengan nilai pembiayaan RM5,000 bagi pemohon yang tidak mempunyai pendaftaran perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dan sehingga RM10,000 bagi yang mempunyai pendaftaran perniagaan SSM.


“Sehingga 10 Februari tahun ini, sebanyak 118 usahawan wanita dan belia menerima pembiayaan SPOT melibatkan peruntukan sebanyak RM884,000,” katanya.


Ewon berkata, bagi usahawan wanita dan anak muda yang menjalankan perniagaan melalui premis tetap atau bergerak, TEKUN Nasional turut menyediakan bantuan pembiayaan menerusi Program Pembiayaan TEKUN dengan nilai maksimum sebanyak RM100,000 tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.


“Pada tahun 2022, TEKUN telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion di bawah Program Pembiayaan TEKUN Nasional dengan melibatkan 73,073 usahawan termasuk usahawan wanita dan belia,” katanya.


Beliau berkata, pada tahun 2021 dan 2022, SME Corp. telah melaksanakan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE 8.0) dan TUBE PEMERKASA kepada belia Bumiputera termasuk wanita yang ingin menceburkan diri dalam perniagaan dengan peruntukan sebanyak RM12.74 juta.


“Seramai 915 belia menyertai program tersebut dan 436 orang daripadanya adalah belia wanita.


“Bantuan yang disediakan dalam pembangunan kapasiti berbentuk latihan, geran permulaan tanpa cagaran dan khidmat nasihat kepada belia Bumiputera berumur 18 sehingga 30 tahun,” katanya.


Katanya lagi, pada tahun ini sebanyak RM1 juta telah disediakan di bawah perancangan Program TUBE.



bottom of page