KUSKOP umum pembiayaan khas BARAKAT, BERKAT sempena Ramadan dan Tahun Baharu Cina
- nabalunews
- 1 hour ago
- 1 min read

6 Februari 2026
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengumumkan dua program pembiayaan khas sempena sambutan Ramadan dan Tahun Baharu Cina yang akan memberi manfaat kepada usahawan mikro di seluruh negara.
Program pembiayaan itu ialah Skim Biaya Ramadan Perniagaan Rakyat (BARAKAT) oleh TEKUN Nasional dengan peruntukan RM50 juta serta Program Pembiayaan Khas Perusahaan Mikro Milikan Cina (BERKAT) oleh SME Corp. Malaysia bernilai RM30 juta.
Menurut KUSKOP, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan akses modal yang lebih mudah, inklusif dan bersasar kepada peniaga kecil.
“KUSKOP yakin inisiatif pembiayaan khas ini akan membantu usahawan mikro menjana pendapatan, mengekalkan kelangsungan perniagaan serta memanfaatkan peluang ekonomi sepanjang musim perayaan,” katanya menerusi hantaran di media sosial rasmi kementerian itu.
Di bawah BARAKAT, TEKUN menawarkan pembiayaan sehingga RM30,000 dengan kadar keuntungan 3 peratus setahun serta tempoh pembiayaan sehingga 12 bulan.
Skim ini bakal memberi manfaat kepada para peniaga dan penjaja kecil dalam sektor makanan dan minuman, pakaian serta barangan keperluan bagi menyokong aktiviti perniagaan sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri.
Sementara itu, Program BERKAT pula menyediakan pembiayaan sehingga RM30,000 dengan kadar keuntungan tiga peratus setahun khusus kepada perusahaan mikro milikan Cina.
Pembiayaan di bawah skim ini akan disalurkan melalui platform Peer-to-Peer (P2P) CapBay yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Maklumat lanjut mengenai Skim BARAKAT boleh diperoleh menerusi laman web TEKUN Nasional di https://www.tekun.gov.my/skim-biaya-ramadan-perniagaan.../, manakala Program BERKAT di https://capbay.com/smecorp-BERKAT.














