KV Keningau perkukuh TVET bidang kosmetologi menerusi kerjasama industri
- nabalunews
- 7 days ago
- 1 min read

8 April 2026
KENINGAU: Kolej Vokasional (KV) Keningau memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang kosmetologi menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bersama dua syarikat peneraju industri kecantikan.
Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang berkata, kerjasama dengan Syarikat Posh Beauty Sdn Bhd dan Syarikat FokusJaya Cerah Sdn Bhd mencerminkan komitmen bersama dalam merangsang inovasi serta memperkukuh jaringan profesional antara institusi pendidikan dan sektor swasta.
“Kerjasama ini dijangka memperkasakan bidang kosmetologi menerusi perkongsian kepakaran, sumber dan pengalaman bagi melahirkan graduan yang kompeten serta berdaya saing selaras dengan tuntutan industri semasa.

“Melalui platform ini juga, lebih banyak ruang kerjasama dapat diteroka, sekali gus meningkatkan keupayaan institusi dalam mendepani cabaran dinamik pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoU KV Keningau bersama kedua-dua syarikat berkenaan di sini, Selasa.
Menurutnya, inisiatif tersebut diharap menjadi pemangkin kepada pelbagai usaha yang memberi manfaat bukan sahaja kepada pelajar dan warga KV Keningau, malah kepada pembangunan modal insan negara secara keseluruhan.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Hubungan Industri dan Agensi (JHIA) KV Keningau serta tenaga pengajar Unit Kosmetologi atas komitmen menjayakan usaha berkenaan.
Pemeteraian MoU itu dijangka memberi impak positif dalam melestarikan kualiti pendidikan vokasional, sekali gus memastikan graduan yang dihasilkan memiliki kemahiran tinggi selaras dengan piawaian pasaran kerja global.















Comments