KWSP lancar inisiatif i-Sayang, suami boleh pindahkan 2% caruman ke akaun isteri
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KWSP lancar inisiatif i-Sayang, suami boleh pindahkan 2% caruman ke akaun isteri



9 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Golongan suami di Malaysia kini berpeluang untuk memindahkan sebanyak dua peratus daripada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka ke akaun isteri masing-masing, melalui pengenalan inisiatif i-Sayang.


Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata kemudahan i-Sayang merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KWSP untuk memperluas jaringan keselamatan sosial kepada institusi kekeluargaan.


Tambah beliau, inisiatif ini dijayakan dengan usahasama bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia yang tidak mempunyai perlindungan skim keselamatan sosial yang formal, untuk menabung demi masa depan persaraan mereka.


"Inisiatif ini adalah selaras dengan komitmen kerajaan dalam memperkasa hak dan menjaga kebajikan wanita serta menerapkan nilai kekeluargaan selaras dengan konsep Malaysia MADANI yang berteraskan ciri-ciri keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran," jelas Amir Hamzah dalam kenyataannya.


Menurutnya, dengan membolehkan suami mencarum secara sukarela sebanyak 2 peratus caruman bulanan, mereka memberikan peluang kepada isteri mereka untuk mempunyai simpanan jangka masa panjang selain daripada mendapat akses kepada keselamatan sosial dan kewangan yang berkualiti, sepertimana yang dinikmati oleh ahli KWSP.


Data menunjukkan, lebih kurang 2.4 juta suri rumah di negara ini tidak bekerja atau berada di luar sektor tenaga buruh, seterusnya tidak mempunyai sebarang bentuk keselamatan sosial, menjadikan mereka lebih rentan terhadap kesulitan dan kejutan kewangan.


Bagi mereka yang berminat untuk memohon i-Sayang, permohonan boleh dilakukan secara dalam talian melalui i-Akaun KWSP (Ahli), Self-Service Terminal (SST) KWSP, atau di mana-mana cawangan seluruh negara.


Maklumat lanjut mengenai i-Sayang boleh didapati di laman sesawang KWSP di www.kwsp.gov.my, atau hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-8922 6000.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page