top of page

Labuan perlu tarik pelaburan, selaraskan proses untuk tingkat ekonomi

Wartawan Nabalu News


20 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


LABUAN: Labuan mempunyai potensi ekonomi yang masih belum diterokai dan boleh direalisasikan dengan memberi tumpuan kepada usaha menarik pelaburan asing dan menyelaraskan proses kelulusan, kata Setiausaha Dewan Perniagaan Labuan (LCC), Raymund Pang.


Beliau berkata, dengan menarik pelaburan asing, Labuan boleh menghasilkan peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan, yang bukan sahaja akan merangsang pertumbuhan ekonomi tetapi juga mewujudkan tenaga kerja yang lebih mahir.


Beliau turut mencadangkan beberapa langkah penting yang perlu dilakukan oleh Labuan untuk mengubah visi itu menjadi reality.


"Langkah ini akan memudahkan perdagangan, menarik pelabur antarabangsa dan membantu pulau itu meniru kejayaan seperti Pulau Pinang dari segi menarik pelaburan langsung asing, penciptaan pekerjaan dan pertumbuhan eksport.


"Zon itu boleh menyokong aktiviti pengedaran, perdagangan, penggabungan, penyimpanan dan penghantaran dan Labuan juga harus meneroka peluang dalam pembungkusan semula dan penjenamaan semula produk bagi mewujudkan identiti jenama Malaysia yang unik untuk eksport," katanya menerusi satu kenyataan media.


Pada masa sama, Pang menekankan keperluan untuk menyelaraskan proses kelulusan, dengan menyatakan bahawa Labuan mempunyai sejumlah besar jabatan kerajaan, yang membawa kepada cabaran birokrasi dan kelewatan.


Beliau berkata, penubuhan pusat sehenti untuk pelabur boleh mengurangkan kerenah birokrasi dan kelewatan membuat keputusan, menjadikan pulau itu lebih mesra perniagaan.


"Pihak yang berkuasa membuat keputusan juga harus ditempatkan di Labuan untuk mengelakkan kelewatan disebabkan oleh pembuat keputusan terletak di Putrajaya," katanya.


Beliau juga menekankan tentang keperluan mendesak untuk menambah baik utiliti asas, dengan mengatakan bahawa gangguan berterusan dalam bekalan elektrik dan air telah memberi kesan negatif kepada perniagaan tempatan.


"Pelaburan dalam menggantikan paip air lama dan pembinaan ladang solar boleh menangani isu ini, memberi manfaat kepada perniagaan kecil seperti kafe dan hotel bajet," katanya.


Pada masa sama, beliau berkata, menjadikan Labuan sebagai hab Latihan dan Pendidikan Vokasional Teknikal boleh membantu mewujudkan tenaga kerja teknikal yang mahir untuk menyokong kilang pembuatan baharu dan industri minyak dan gas, menghasilkan peluang untuk pendapatan lebih tinggi dan menarik pekerja dari kawasan berdekatan.


Sementara itu, menambah baik ketersambungan udara dan laut, termasuk menaik taraf Lapangan Terbang Labuan dan menjadikan Pelabuhan Labuan lebih menarik kepada pemilik kapal boleh meningkatkan pelancongan dan perdagangan, kata Pang.


Pada masa sama, beliau berkata pengecualian cukai korporat dan cukai untuk ekspatriat dan eksekutif boleh menjadikan Labuan lebih menarik untuk pelaburan dan menggalakkan perbelanjaan domestik. Labuan juga harus menawarkan visa khas dan menampung keperluan ekspatriat yang pelbagai bagi mewujudkan suasana yang mesra.


"Memiliki hospital yang serba lengkap untuk kecemasan juga penting bagi menarik individu yang bernilai tinggi dan membuat ekspatriat berasa selamat.


Pang berkata, dengan mengutamakan bidang-bidang yang ditekankan itu, Labuan boleh mencapai potensi penuhnya dan membawa kemakmuran kepada rakyat.



Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page