top of page
!
Widget Didn’t Load
Check your internet and refresh this page.
If that doesn’t work, contact us.
nabalunews

Laksamana Muda Yusne Mokhtar dilantik sebagai Panglima Wilayah Laut 2 yang ke-34





23 November 2024


Oleh : Wartawan Nabalu News 


SANDAKAN : Laksamana Muda Yusne Mokhtar dilantik sebagai Panglima Wilayah Laut 2 (PANGWILLA 2) yang ke-34, menggantikan Laksamana Muda Datuk Khir Junaidi Idris.


Majlis serah terima tugas dilangsungkan Jumaat lalu yang menyaksikan Khir secara rasminya menyerahkan jawatan PANGWILLA 2 kepada Yusne selepas Khir memegang tampuk kepimpinan Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) selama 1 tahun 4 bulan 11 hari.


Acara yang berlangsung di Dewan Azim, Kompleks Perumahan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sandakan itu disaksikan Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy.


Majlis penuh tradisi TLDM pada setiap kali pertukaran tampuk pemerintahan antara kedua-dua panglima itu dimulakan dengan menandatangani Sijil Perakuan Serah Terima Tugas, Pemakaian dan Penurunan Insignia Pemerintahan serta penyerahan teropong sebagai simbolik peralihan kepada tampuk pemerintahan yang baharu.


Berucap pada majlis itu, Muhammad Ruzelme menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Khir atas dedikasi dan komitmen yang telah diberikan sepanjang memegang tampuk pemerintahan di MAWILLA 2 selain berharap PANGWILLA 2 yang baharu akan meneruskan komitmen terbaik kepada tugasan di MAWILLA 2 dan warganya.


Yusne, anak kelahiran Selangor pernah bertugas di Markas Tentera Laut sebagai Asisten Ketua Staf Perancangan Pembangunan dan Kontigensi.


Manakala Khir dirancang bakal dilantik sebagai Panglima Armada Timur hujung bulan ini.


Pada sidang media, Khir merakam penghargaan kepada semua warga Navy People di MAWILLA 2 atas kerjasama diberikan selama beliau di sini dan berharap PANGWILLA 2 yang baharu dapat meneruskan legasi markas iaitu menjaga perairan Sabah dengan sebaiknya selain sentiasa siap siaga serta sentiasa selenggara aset kapal.


Manakala Yusne merakam ucapan terima kasih kepada Khir dan bertekad meneraju MAWILLA 2 dan meneruskan perancangan sedia ada dengan menambah baik aspek yang diperlukan.


Jelasnya, adalah menjadi keutamaan bagi MAWILLA 2 untuk terus memastikan kedaulatan di perairan negara disamping tugasan harian.


Pihaknya turut meletakkan 3 keutamaan bagi meneruskan pemerintahan ini iaitu dari segi kesiagaan kapal dengan rutin selenggara kapal yang baik kerana ada aset yang telah berusia selain memastikan tugas berjalan lancar.


Manakala keutamaan kedua ialah pengurusan sumber manusia dimana beliau berharap Navy People sentiasa sedia dan boleh melaksanakan tugas sepanjang masa.


Sementara keutamaan ketiga ialah kebajikan keluarga warga MAWILLA 2 sekaligus memastikan mereka sentiasa bersemangat dalam melaksanakan tugasan masing-masing.

Comments


bottom of page