top of page
  • Wartawan Nabalu News

Laksana lebih banyak program CSR bantu rakyat: Ewon

Ewon (tiga dari kiti) dibantu oleh Nelly menyampaikan sumbangan Yayasan Petronas kepada salah seorang penerima.

2 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyarankan agar lebih banyak badan korporat dan syarikat swasta melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu rakyat yang memerlukan.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian dan Ahli Parlimen Penampang berkata, usaha murni Yayasan Petronas melaksanakan program CSR sempena sambutan Kaamatan amat dialu-alukan.


“Terima kasih kepada Yayasan Petronas kerana memilih Kota Belud antara lima daerah di Sabah melaksanakan Program CSR “Petronas Memacu Kehidupan” sempena sambutan Pesta Kaamatan tahun ini. Saya yakin Yayasan Petronas akan meneruskan program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis itu, di Dewan Kompleks Sukan Kota Belud, di sini, hari ini.


Yayasan Petronas menyampaikan sumbangan kepada 100 penerima dari golongan B40 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri, DUN Kadamaian.


Ewon berkata, sumbangan itu merupakan usaha Yayasan PETRONAS dan PETRONAS Dagangan Bhd, dalam menyokong inisiatif Bakul Rahmah yang diterajui oleh Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Semoga sumbangan ini dapat membawa keceriaan di kalangan penerima lebih-lebih lagi pada musim perayaan,” katanya.

Katanya lagi, Petronas telah banyak membantu dalam pembangunan negara dan memperolehi keuntungan, oleh itu program ini adalah antara platform untuk berkongsi keuntungan kepada masyarakat agar rakyat turut sama menikmati manfaat itu.


“Saya berharap program ini diteruskan untuk membantu para pelajar kurang mampu seterusnya membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi kerana pendidikan amat penting untuk mengubah masa depan keluarga mereka.

“Saya juga ingin melihat lebih ramai rakyat daripada Malaysia Timur terutamanya Sabah dan Sarawak bekerja dengan Petronas,” katanya.


Yayasan PETRONAS menyampaikan sumbangan bakul makanan asas, hamper kuih dan PETRONAS Gift Card kepada 500 keluarga dari lima daerah di Sabah iaitu Kota Belud, Tuaran, Inanam, Membakut dan Telupid melalui Program Memacu Kehidupan: Kaamatan 2023.

PETRONAS telah pun mengadakan penyerahan simbolik pada 1 Mei lalu, semasa Majlis Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Tuaran.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan PETRONAS Nelly Francis Shariah, Ketua PETRONAS Sabah dan Labuan Siti Ayu Haniza Abdul Wahab, Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah Ali Hassan Kahar dan Pegawai Daerah Kota Belud Haji Bakri Haji Nanun.

Comentários


bottom of page