Laksanakan Perjanjian Malaysia 1963: Azis

10 November 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Azis Jamman mendesak kerajaan persekutuan supaya melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta merta.
Beliau berkata, ini kerana tindakan Putrajaya berdolak dalik menunaikan tuntutan MA63 akan mendorong Gerakan Menuntut Kemerdekaan Sabah semakin lantang bersuara.
“Jika kerajaan persekutuan masih ingin menganak-tirikan Sabah jangan hairan sekiranya ada rakyat yang bangkit menuntut mendesak Sabah keluar dari Malaysia.
“Ketika ini suara-suara mendesak keluar Malaysia semakin lantang disuarakan di Sabah dan Sarawak. Malah, baru-baru ini ada video menunjukkkan konvoi ‘Sarawak keluar Malaysia’ diadakan di Sarawak.
“Setelah lebih 58 tahun Malaysia dibentuk, kerajaan masih ingin menipu dan menganaktirikan Sabah. Jangan pandang mudah kerana jika layanan buruk Putrajaya terhadap MA63 berterusan, jangan salahkan kami jika gerakan memerdekakan Sabah dari penjajahan Putrajaya semakin lantang,” katanya semasa perbahasan Bajet 2022 persidangan Parlimen, kelmarin.
Azis yang juga Ketua Wira Warisan berkata, sekiranya terma-terma dalam MA63 di langgar maka, pada dasarnya perjanjian itu boleh terbatal.
“Jika MA63 terbatal, suka saya ingatkan Putrajaya bahawa Malaysia tidak wujud tanpa penglibatan Sabah dan Sarawak.
“Sekiranya kerajaan Persekutuan tidak setuju dengan terma MA63, kenapa perjanjian itu ditandatangani? Saya pasti jika bapa-bapa kemerdekaan tahu terma dalam perjanjian ini tidak akan ditunaikan, saya yakin mereka juga tidak ingin menandatangani perjanjian ini dan membentuk Malaysia,” katanya.
Katanya lagi, jika Singapura dan Brunei Darussalam boleh berdiri atas kaki sendiri walaupun negara itu kecil, beliau yakin dengan sumber yang ada di Sabah, negeri itu boleh berdiri sendiri.
Comments