Laksanakan segera MA63, tiada keperluan rundingan: Azhar
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Laksanakan segera MA63, tiada keperluan rundingan: Azhar


20 September 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan, Azhar Matussin berkata, kesemua 15 isu di bawah pemantauan Majlis Khas mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang masih belum diselesaikan perlu dilaksanakan segera.


Beliau berkata, setakat ini tiada keperluan perkara-perkara itu dirunding kerana ia adalah satu perjanjian antarabangsa membabitkan United Kingdom of Britain, Northern Ireland, North Borneo, Malaya, Sarawak dan Singapura.


“Dalam MA63 sendiri sudah terang serta menjelaskan secara terperinci mengenai hak-hak serta tanggungjawab masing-masing diantara kerajaan persekutuan dengan Wilayah Sabah dan Sarawak.


“Apa yang susah sangat untuk dilaksanakan … kerajaan persekutuan kena buka balik MA63 dan laksanakan. Tidak perlu pilih mana perlu dilaksanakan dan mana tidak perlu laksanakan.


“Sudah cukup jelas MA63 telah dipersetujui sejak awal dan perkara ini pun ditandatangani,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.


Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili bahawa 15 isu di bawah pemantauan MKMA63 masih belum diselesaikan.


Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau berkata, pengumuman masih belum diselesaikan adalah tidak releven didengar oleh rakyat Sabah pada masa kini.


“Apa yang rakyat Sabah mahu ia dengar ialah semua isu itu diselesaikan. Oleh itu Maximus perlu memperjuangkan 40 peratus hasil pungutan cukai sepatutnya dikembalikan kepada kerajaan Sabah sejak tahun 1963 dan melaksanakan segera MA63 seperti yang termaktub dalam perjanjian tersebut.


“MA63 itu tidak boleh diubah sama ada ditambah atau dikurangkan walaupun satu huruf … sudah 59 tahun perjanjian ditandatangani … ia perlu dilaksanakan segera secara total,” katanya.


Katanya, sebarang cubaan atau cadangan untuk mengubah MA63 perlu melibatkan semua negara penandatangan asal MA63.


“Parlimen sendiri pun tiada kuasa untuk membuat sebarang perubahan kepada MA63 kerana ia adalah dua entiti yang berlainan.


“Maximus perlu berjiwa besar sebagai seorang anak Sabah. Lebih-lebih lagi sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Sabah dan Sarawak,” katanya dan berharap agar menteri yang bertanggungjawab dalam hal ini benar-benar ikhlas dan komited mempertahankan hak rakyat Sabah.


Kelmarin, Maximus menyatakan bahawa sejumlah 15 isu di bawah pemantauan Majlis Khas mengenai Perjanjian Malaysia 1963 masih belum diselesaikan


Katanya, isu berkenaan termasuk kuasa negeri ke atas isu kesihatan, kuasa baki perundangan mengenai alam sekitar, tenaga buruh di Sabah dan Sarawak serta pelepasan tanah diberi hak milik kepada persekutuan di Sabah dan Sarawak.


“Kebanyakannya sudah dibawa kepada jawatankuasa (Jawatankuasa Majlis Khas MA63). Ada beberapa perkara yang masih dalam perbincangan. Misalnya, isu pemberian di bawah Akta 112 (1) Perlembagaan Persekutuan (Pertambahan Jawatan) dengan Sarawak.


“Perbincangan sudah mula tapi belum ada kata putus (mengenai) berapa semakan mengenai bayaran balik (bagi royalti minyak dan pembayaran balik tunai petroleum). Selain itu, penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak juga masih dalam pembincangan,” kata Maximus.


bottom of page