Lapan Pakej Pan Borneo Sabah Sepanjang 177 Kilometer Dicadang Dibuka Berperingkat Tahun Ini
nabalunews
1 day ago
4 min read

Oct 18, 2026
KOTA KINABALU 18 Oktober 2026. Sebanyak lapan pakej Lebuhraya Pan Borneo Sabah sepanjang 177 kilometer dicadang dibuka secara berperingkat kepada pengguna sebelum hujung tahun ini. Langkah itu diambil bagi mempercepat manfaat projek kepada rakyat sementara kerja di bahagian lain diteruskan.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam berkata langkah itu dilaksanakan seiring tindakan susulan terhadap penemuan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2026 Siri 2 yang dibentangkan pada 5 Oktober lalu.
"Kerajaan Negeri menerima teguran audit dengan terbuka. Fokus kami sekarang ialah penyelesaian supaya rakyat dapat menggunakan jalan yang lebih baik secepat mungkin," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau enam pakej sepanjang 135.8 kilometer telah menerima Certificate of Partial Occupation yang membolehkan seksyen siap digunakan orang awam sementara kerja di bahagian lain diteruskan. Pakej itu meliputi laluan Sindumin ke Beaufort dan Bongawan serta Putatan ke Tebobon dan Moynod ke Sapi Nangoh.
Setakat 25 September 2026 empat pakej sepanjang 41.5 kilometer telah siap sepenuhnya iaitu WP05 Papar ke Donggongon dan WP15 Tawau ke Semporna serta WP21 Lahad Datu Bypass dan WP27 Kampung Lot M ke Sandakan Mile 32. Pada 2027 pula lapan pakej sepanjang 161.8 kilometer disasar menerima Certificate of Practical Completion iaitu pengesahan rasmi bahawa keseluruhan kerja telah siap.
Mengulas angka 11.4 peratus yang disebut dalam LKAN, Joachim menjelaskan angka itu merujuk empat daripada 35 pakej yang telah diserahkan sepenuhnya setakat 31 Mac 2026. Daripada 35 pakej ini sebenarnya hanya 3 pakej yang dimulakan pada 2016, 4 pakej pada 2017 dan 5 pakej pada 2018 iaitu 12 pakej kesemuanya melalui model perlaksanaan PDP. Setelah penamatan modal perlaksanaan PDP pada penghujung tahun 2019, 11 pakej kerja ini ditawarkan semula kepada kontraktor yang sama pada tahun 2019, satu pakej ditender semula dan 3 pakej baru ditender menjadikan 15 pakej keseluruhan untuk Fasa 1A. Sementara itu 17 pakej Fasa1B dimulakan pada tahun 2024, pakaj 9 (WP09) dan satu pakej Fasa 1B dimulakan pada tahun 2025 dan baki satu lagi pakej 1B pada tahun 2026. Kelewatan memulakan pembinaan bagi Fasa 1B dan WP9 adalah disebabkan oleh kelulusan peruntukan dari Kerajaan Persekutuan hanya diperoleh sepenuhnya pada Tahun 2023. Kemajuan fizikal di tapak setakat 25 September 2026 ialah 89.54 peratus bagi Fasa 1A dan 38.87 peratus bagi WP09 manakala Fasa 1B yang mula dibina pada 2024 mencatat 24.76 peratus.
Beliau berkata status tapak bebas halangan juga meningkat dengan ketara iaitu 99.79 peratus bagi Fasa 1A dan 96.8 peratus bagi WP09 serta 79.43 peratus bagi Fasa 1B. Pengambilan tanah dan penyelarasan utiliti merupakan tanggungjawab utama Kerajaan Negeri dalam projek ini.
Joachim menjelaskan bahawa Pan Borneo Sabah ialah projek jalan Persekutuan yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan. Keputusan mengenai peruntukan dan pelantikan kontraktor dibuat oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Kewangan manakala JKR Sabah bertindak sebagai agensi pelaksana di tapak pelaksana.
Kejayaan projek ini bergantung pada kerjasama kedua-dua kerajaan. Hubungan Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan kini berada pada tahap terbaik dan kami bergerak seiring untuk menyelesaikan setiap halangan," katanya.
Mengenai punca kelewatan, beliau berkata projek yang dimeterai pada 2016 itu melalui perubahan model pelaksanaan daripada Project Delivery Partner (PDP) kepada kaedah konvensional yang berkuat kuasa pada 22 September 2019. Peralihan itu memerlukan proses perolehan dan kontrak baharu dan pelantikan 15 kontraktor Fasa 1A hanya selesai pada 2021.
Pandemik COVID-19 turut rut mengganggu tenaga kerja dan bekalan bahan. Selain itu lebih 70 peratus projek ialah pelebaran jalan sedia ada daripada dua kepada empat lorong yang perlu dilaksanakan ketika trafik
masih bergerak.
Bagi menangani penemuan audit, Kerajaan Negeri bersama KKR telah melaksanakan beberapa langkah. Jawatankuasa Pemandu Pan Borneo Sabah yang ditubuhkan pada November 2024 menjalankan program turun padang secara berkala. Jawatankuasa itu juga dicadang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha KKR dan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi mempercepat penyelarasan antara agensi.
Pelan pemulihan turut dikenakan ke atas kontraktor yang lewat. Kontraktor baharu bagi WP35 Kampung Nabutan ke Ranau telah dilantik pada 13 Januari 2026. Kemajuan WP11 Rampayan Laut ke Sarang pula meningkat daripada 61.76 peratus pada Jun kepada 74.18 peratus pada September selepas pelan pemulihan dilaksanakan.
Mengenai penemuan arahan perubahan kerja bernilai RM513.99 juta yang melebihi had kuasa kelulusan, Joachim berkata Kerajaan Negeri akur dengan teguran itu. Pihaknya menyokong supaya mekanisme kelulusan perubahan keria vang lebih jelas dan pantas dimasukkan dalam kontrak bersama KKR dan Kementerian Kewangan tanpa menjejaskan tadbir urus.
Pegawai JKR Sabah juga menjalani latihan pengurusan kontrak bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan CREATE JKR. Latihan itu merangkumi penyediaan Bill of Quantity dan anggaran kos serta dokumen kontrak.
Bagi tempoh seterusnya Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada penyelarasan awal dengan pejabat tanah dan syarikat utiliti sebelum kerja bermula serta tindakan tegas terhadap kontraktor yang gagal mencapai prestasi. Keselamatan pengguna di zon pembinaan dan maklumat kemajuan yang telus kepada rakyat juga akan diutamakan.
Joachim berkata pakej Fasa 1B akan disiapkan secara berperingkat mengikut tarikh kontrak hingga 2030 dan setiap tarikh itu akan dipantau dengan rapi.
Beliau turut menghargai peruntukan RM1.38 bilion untuk Lebuhraya Pan Borneo dalam Belanjawan 2027 yang akan memastikan kesinambungan kerja di tapak.
"Rakyat menilai kita melalui jalan yang mereka lalui setiap hari. Setiap seksyen yang dibuka adalah bukti kemajuan dan kami akan terus bekerja sehingga Pan Borneo Sabah siap sepenuhnya," katanya.















Comments