top of page

MINDET pantau pengambilan pekerja tempatan di kilang asing beroperasi di Sabah - Ewon

nabalunews
4 hours ago
3 min read

18 Oktober 2026


KUDAT: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) akan terus memantau pengambilan pekerja tempatan di kilang milik pelabur asing bagi memastikan komitmen 80 peratus pengambilan tenaga kerja tempatan dipenuhi.


Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, langkah itu selaras dengan Wawasan Sabah First yang memberikan tumpuan kepada peningkatan pendapatan rakyat Sabah melalui peluang perniagaan dan pekerjaan.



“Pertama, kita memastikan komitmen 80 peratus pengambilan pekerja tempatan dalam syarikat-syarikat pelaburan langsung asing dipenuhi oleh syarikat-syarikat tersebut,” katanya ketika berucap pada sesi “Bicara SMJ 2.0: Memaknai Manifesto GRS” sempena Konvensyen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Dewan Tun Mustapha, di sini, hari ini.


Ewon berkata, penglibatan tenaga kerja tempatan dalam sektor perindustrian dapat dilihat di kilang Kibing Silicon Materials di Kudat.


“Saya telah mengadakan kunjungan kerja di Kibing Silicon Materials di Kudat petang kelmarin. Daripada 2,134 pekerja mereka, seramai 1,849 orang atau 86 peratus terdiri daripada pekerja tempatan Sabah. MINDET akan terus memantau komitmen syarikat-syarikat FDI ini,” katanya.


Menurutnya, pembangunan perindustrian dan keusahawanan merupakan platform penting untuk menangani cabaran kemiskinan serta meningkatkan pendapatan isi rumah di Sabah.


“Dalam memimpin MINDET, saya ingin melaksanakan wawasan dalaman, iaitu Wawasan Sabah First, membangunkan lebih ramai rakyat Sabah berpendapatan, sama ada sebagai pemilik perniagaan atau sebagai pekerja kepada pemilik perniagaan,” katanya.


Selain memastikan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, Ewon berkata, kementeriannya turut menambah baik dasar bagi menggalakkan syarikat Sabah mengembangkan operasi di taman-taman perindustrian.


Katanya, Kabinet Kerajaan Sabah telah meluluskan dasar khas yang membolehkan syarikat tempatan membayar sewa tanah secara tahunan sepanjang tempoh pajakan, bermula di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).


“Kalau selama ini, polisi pajakan tanah adalah sama kepada semua syarikat, sama ada syarikat tempatan Sabah, syarikat tersenarai, syarikat multinasional atau syarikat pelaburan asing, di mana sewaan keseluruhan bagi tempoh 30 tahun pajakan harus dibayar dalam tempoh dua tahun.


“Saya berpandangan polisi ini tidak menggalakkan pengembangan syarikat-syarikat tempatan Sabah ke taman-taman perindustrian kecuali yang betul-betul mempunyai aliran tunai dan modal yang besar,” katanya.


Bagaimanapun, beliau berkata, syarikat berkenaan masih memerlukan akses kepada modal untuk membina kilang serta membeli jentera dan mesin kerana tanah atau bangunan yang disewa tidak boleh dicagarkan kepada bank.


Sehubungan itu, MINDET mengadakan perbincangan dengan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) bagi membawa kemudahan jaminan pembiayaan kepada syarikat tempatan Sabah.


Dalam pembangunan produk tempatan pula, Ewon berkata, kementeriannya memperkenalkan geran bagi membiayai pendaftaran harta intelek dan cap dagangan susulan kerjasama dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).


Katanya, usaha itu bertujuan mempertahankan identiti produk Sabah, termasuk melalui pendaftaran cap dagangan Sabah Authentic.


“Bermula tahun hadapan, MINDET akan memfokuskan program-program bimbingan keusahawanan kepada pembangunan penjenamaan dan pemasaran produk-produk sedia ada, khususnya usahawan yang mahu menggunakan cap dagangan Sabah Authentic ini,” katanya.


Beliau berkata, usaha itu turut melibatkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu pembangunan penjenamaan dan pemasaran produk.


Mengenai penyertaan syarikat tempatan dalam industri minyak dan gas, Ewon berkata, Sabah OGSE Roadmap 2026–2030 yang diperakukan Kabinet Kerajaan Sabah bertujuan meningkatkan penglibatan mereka dalam sektor perkhidmatan dan peralatan industri berkenaan.


“Kita mesti bangunkan industri huluan, pertengahan dan hiliran gas dan minyak di Sabah, tetapi bukan semata-mata menjadi penonton, sebaliknya turut sama menjadi pemain,” katanya.


Sementara itu, beliau berkata, MINDET menghimpunkan agensi kerajaan, syarikat konsesi, operator dan persatuan pengguna pelabuhan dalam Jawatankuasa Task Force Pelabuhan Sepanggar bagi menangani isu logistik secara bersama.


Katanya, sebanyak 10 pelan tindakan sedang dilaksanakan susulan keputusan Kabinet Kerajaan Sabah, merangkumi usaha menangani kekangan kawasan penyimpanan kontena, operasi agensi kerajaan serta isu berkaitan ekosistem pengangkutan dan logistik.


“Saya mahu menyemai semangat kesatuan, kerjasama dan kebersamaan rakyat Sabah dalam menangani isu pelabuhan ini kerana pada akhirnya saling menyalahkan tidak mungkin boleh membawa penyelesaian,” katanya.


Dalam aspek pembangunan kemahiran, Ewon berkata, pelajar TVET di KKIP Aerospace Training Centre turut menikmati bantuan pendidikan dan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah.


Menurutnya, bantuan itu merupakan antara contoh bagaimana hasil negeri diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai rakyat.


Beliau menegaskan ukuran sebenar kejayaan manifesto dan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 ialah pencapaian yang dapat dinikmati oleh rakyat Sabah.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page