Lapor polis segera, kes Orang Hilang tak perlu tunggu 24 jam - Polis Kuala Lumpur

29 Julai 2024
KUALA LUMPUR: Laporan polis mengenai kejadian Orang Hilang (OH) perlu dibuat segera bagi membolehkan tindakan pantas dapat diambil.
Ini kerana masa adalah elemen paling penting bagi menyelesaikan kes OH.
Justeru Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata orang ramai tidak perlu menunggu sehingga 24 jam sebelum membuat aduan berhubung kes OH.
Katanya tiada prosedur operasi standard (SOP) yang menyatakan laporan polis harus dibuat selepas tempoh 24 jam kejadian OH berlaku.
Beliau mengambil contoh beberapa kes yang terjadi baru-baru ini yang membuktikan dalam masa singkat sahaja mangsa terbabit dilarikan jauh dari lokasi akhir mereka.
“Saya ada terima arahan daripada Tan Sri IGP (Ketua Polis Negara) bila ada orang datang buat laporan kita kena terima kerana ‘masa’ adalah elemen penting.
“Contoh secara ringkas, tubuh badan (manusia) boleh tahan 24 jam dan bila tubuh sudah mula mereput (ia) akan menyukarkan (siasatan).
“Itu satu, yang kedua pengesanan itu kita perlu lakukan dengan pantas kerana (ia) boleh hilang sekarang tahu-tahu dah sampai sempadan, ini contoh,” katanya kepada pemberita pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Dang Wangi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.
Jelasnya setiap laporan yang diterima akan diproses dan dinilai secara teliti oleh anggota dan pegawai polis sebelum sebarang tindakan susulan diputuskan.
Katanya, ia berikutan jumlah aduan yang agak kerap diterima berkaitan OH yang bagaimanapun sebenarnya hanya salah faham antara keluarga atau kenalan.
“Sekarang keluar rumah tidak dapat dihubungi, hilang; bergaduh dengan girlfriend (teman wanita) tidak dapat dihubungi, hilang; kena marah dengan emak, hilang.
“Sebab itu kita akan tengok (nilai) berdasarkan kes, tetapi untuk menentukan OH terbabit selamat akan terima (setiap) laporan dan siasat,” katanya.
Katanya Polis Kontinjen Kuala Lumpur, sentiasa 'membuka pintu' kepada masyarakat untuk membuat laporan sekiranya ada ahli keluarga, saudara mara atau rakan mereka hilang serta mendapati ada unsur mencurigakan dalam kejadian kehilangan itu.
"Kita (di setiap balai) di Kuala Lumpur kena terima setiap laporan yang dibuat sebab setiap tempoh masa sesuatu kes OH itu adalah amat penting untuk polis bertindak.
"Mengambil pengajaran dan iktibar kes kehilangan dan bunuh Nur Farah Kartini di Hulu Selangor, baru-baru ini, bila laporan dibuat, mayatnya ditemui lima hari kemudian.
"Ini menyukarkan tugas pihak forensik apabila menemui mayat mangsa pada hari kelima dan ia dah menjadi susah.
Mungkin mayat itu boleh bertahan dalam tempoh 24 jam untuk diperiksa," katanya.
Rusdi berkata, adalah penting untuk menentukan sebab kematian dan jika mayat dalam keadaan yang reput, menyukarkan polis untuk menentukan sebab kematian.
Beliau berkata, arahannya sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur pada semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Balai Polis untuk menerima setiap laporan polis tanpa perlu menunggu 24 jam.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan bahawa semua pegawai dan anggotanya harus menerima laporan OH yang dibuat tidak semestinya untuk menunggu sehingga 24 jam.
Tindakan lewat mengambil laporan OH boleh menyebabkan setiap nyawa individu yang dilaporkan hilang terancam.
Comments