Laporan perlanggaran railbus JKNS dan motor troli di Tenom dibentang di kabinet minggu depan
- nabalunews
- 6 days ago
- 1 min read

5 Mac 2026
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) akan membentangkan laporan berhubung insiden perlanggaran railbus JKNS dengan motor troli di KM134/4 Pangi, Tenom dalam mesyuarat Jemaah Menteri Sabah minggu depan.
Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, susulan kejadian yang berlaku pada 3 Mac lalu, beliau telah meminta laporan daripada Pengarah Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS).
“Laporan siasatan awal telah diberikan kepada saya dan laporan tersebut juga telah dipanjangkan kepada Pejabat Ketua Menteri Sabah hari ini.

“Saya akan membentangkan laporan siasatan ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri Sabah pada 11 Mac minggu hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ewon turut memaklumkan bahawa JKNS juga telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden berkenaan.
Sementara itu, dalam kenyataan media JKNS hari ini memaklumkan bahawa pihaknya mengambil maklum insiden kemalangan yang melibatkan perkhidmatan kereta api dan motor troli pada 3 Mac 2026 di KM134/4, landasan kereta api Tenom ke Pangi.
Menurut kenyataan itu, JKNS telah mengaktifkan siasatan dalaman melalui Board of Enquiry (Badan Penyiasatan Dalaman) selaras dengan prosedur siasatan yang sedang berkuat kuasa.
Selain itu, pihak JKNS turut membuat laporan polis di Balai Polis Tenom berhubung insiden tersebut bagi makluman serta tindakan lanjut pihak berkuasa.
“Sebarang tindakan susulan oleh JKNS adalah berdasarkan hasil laporan Board of Enquiry, selaras dengan peruntukan yang termaktub dalam Enakmen Keretapi 2017,” menurut kenyataan itu.
Insiden berkenaan bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
JKNS turut menyatakan rasa kesal atas kejadian yang berlaku dan memaklumkan bahawa siasatan dalaman oleh jabatan itu serta siasatan oleh pihak polis sedang giat dijalankan.















Comments