Larangan kenderaan barangan sempena sambutan Tahun Baharu Cina bermula 14 Februari
- nabalunews
- 3 hours ago
- 1 min read

5 Februari 2026
KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan larangan pemanduan ke atas kenderaan barangan sempena sambutan Tahun Baharu Cina bermula 14 Februari di seluruh negara.
Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, larangan ini akan dikuatkuasakan selama empat hari iaitu pada 14 dan 15 Februari (sebelum perayaan), serta 21 dan 22 Februari (selepas perayaan).
Menurut beliau, langkah berkenaan bagi mengurangkan risiko kemalangan dan memastikan kelancaran trafik sempena musim perayaan.
Larangan pergerakan dibahagi kepada tiga jenis, iaitu kategori 1, larangan sepanjang masa pada tarikh terbabit; kategori 2, larangan bermula 8 pagi ke 8 malam; dan kategori 3 dari 6 petang hingga 6 pagi.
“Bagi Kategori 1, larangan dikenakan ke atas lori pembawa dan lori jongket dengan muatan melebihi 7,500 kilogram, lori pengangkut rendah, treler tiang, treler pelantar, lori balak, jentera berat beroda, serta traktor, kecuali yang digunakan untuk operasi kecemasan dan menyelamat.
“Selain itu, lori yang mengangkut bahan binaan termasuk simen, besi keluli, batu, pasir, tanah, bahan galian, bijih timah dan bahan binaan lain turut dilarang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kategori 2 pula melibatkan kategori lori kontena dan lori kargo yang mengangkut barangan kecuali jika lori terbabit daripada pelabuhan atau lapangan terbang yang menghantar barang ke kawasan perindustrian di dalam negeri.
Turut dikenakan larangan dalam kategori 2 ialah lori membawa muatan kelapa sawit, getah serta lori kargo tanpa muatan.
“Manakala kategori 3 membabitkan kenderaan pembinaan antaranya kren bergerak dan lori pembancuh simen. Bagaimanapun, jentera berat dan kren bergerak diberi pengecualian bagi kerja-kerja kecemasan.
"Mana-mana kenderaan barangan atau dengan jenis barangan yang tidak dinyatakan dalam jadual adalah dibenarkan menggunakan kenderaan dalam tempoh larangan," katanya.


















Comments