top of page

RM4.58 bilion untuk tangani isu bekalan air di Sabah, Sarawak

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 2 min read

5 Februari 2026


KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan berjumlah RM4.58 bilion secara pinjaman di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) bagi melaksanakan 24 projek bekalan air di Sabah dan Sarawak.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jumlah berkenaan merangkumi RM3.38 untuk pelaksanaan 18 projek di Sabah, manakala Sarawak pula diperuntukkan RM1.2 bilion melibatkan enam projek.


“Kerajaan Persekutuan turut menyediakan peruntukan secara geran kepada Sabah dan Sarawak masing-masing sebanyak RM349 juta dan RM243.5 juta bagi pelaksanaan program pengurangan Air Tidak Berhasil (NRW) bagi penggantian paip kritikal dan pengurusan NRW secara holistik.


“Kesemua 24 projek yang telah dan sedang dilaksanakan ini merangkumi pembinaan loji rawatan air (LRA) baharu, menaik taraf LRA sedia ada, kajian sumber air, kajian kebolehlaksanaan projek bekalan air dan penyelenggaraan sistem bekalan air,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja bagi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), di Dewan Rakyat pada Rabu.


Dalam usaha menangani masalah bekalan di kawasan luar bandar pula, Fadillah berkata, pihak operator air di Sabah dan Sarawak boleh memohon peruntukan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bagi pelaksanaan projek bekalan air berskala kecil.


Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, perancangan dan pembangunan infrastruktur bekalan air dan pembetungan di Sabah dan Sarawak adalah terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.


“Bagi Sabah, pengurusan bekalan air di bawah tanggungjawab Jabatan Air Negeri Sabah yang melaksanakan fungsinya mengikut peruntukan Enakmen Bekalan Air Negeri Sabah 2003, manakala perkara berkaitan pengawalseliaan tertakluk kepada Ordinan Bekalan Air 1961.


“Di Sarawak pula, pengurusan bekalan air adalah di bawah Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) berserta agensi di bawahnya iaitu Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak dan Sarawak Water Sdn Bhd yang tertakluk kepada Ordinan Air Sarawak 1994,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page