top of page

AirAsia perkenal laluan Kaohsiung–Osaka

  • nabalunews
  • 5 hours ago
  • 1 min read

5 Februari 2026


KUALA LUMPUR: AirAsia Malaysia memperkenalkan laluan baharu Kaohsiung–Osaka sebagai sebahagian daripada perkhidmatan Kuala Lumpur–Kaohsiung, menandakan fasa pertumbuhan seterusnya rangkaian syarikat penerbangan itu di Asia Utara.


Dalam kenyataannya hari ini, syarikat penerbangan tambang rendah itu memaklumkan laluan baharu tersebut akan memperkukuh kesalinghubungan antara Taiwan dan Jepun, selain memanfaatkan Kuala Lumpur sebagai hab utama dalam rangkaian luas AirAsia.


“Bermula 15 Jun 2026, AirAsia akan mengendalikan penerbangan harian yang menghubungkan Kaohsiung dan Osaka selain laluan sedia ada Kuala Lumpur–Kaohsiung.

“Laluan penerbangan kebebasan kelima yang baharu ini memperkukuh kehadiran AirAisa di Asia Utara serta menyokong permintaan perjalanan yang semakin meningkat antara Taiwan dan Jepun di samping menawarkan pilihan perjalanan yang lebih lancar merentasi pelbagai destinasi,” katanya.


Pengurus Besar AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra, berkata permintaan kukuh terhadap laluan kebebasan kelima pertama syarikat itu antara Taipei dan Fukuoka tahun lalu membuktikan keberkesanan strategi, dengan purata faktor muatan penumpang melebihi 90 peratus sejak perkhidmatan tersebut dimulakan.


“Berdasarkan momentum ini, kami kini memperkenalkan laluan baharu Kaohsiung–Osaka yang merupakan sebahagian daripada rangkaian berterusan AirAsia, di mana kami mengukuhkan laluan sedia ada sambil membuka peluang pasaran baharu.


“Perkhidmatan baharu ini turut mengukuhkan peluang pelancongan dan perjalanan antara Taiwan dan Jepun, selain menyokong permintaan dua hala yang semakin meningkat antara kedua-dua destinasi tersebut,” katanya dalam kenyataan sama.


Bagi meraikan pelancaran laluan baharu itu, AirAsia menawarkan tambang promosi sehala termasuk dari Kaohsiung ke Osaka bermula NT$2,690, manakala penerbangan dari Osaka ke Kaohsiung ditawarkan bermula 11,990 yen Jepun.


AirAsia memaklumkan tempahan dibuka mulai hari ini hingga 15 Februari 2026 bagi tempoh perjalanan antara 15 Jun 2026 hingga 24 Oktober 2026 melalui aplikasi AirAsia MOVE dan laman web airasia.com

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page