top of page

Latihan Pemandu Snorkeling Bantu Lindungi Hidupan Marin

  • nabalunews
  • 2 days ago
  • 2 min read

28 Jun 2025


SEMPORNA: Seramai 65 pemandu snorkeling tempatan di seluruh kawasan tumpuan pelancongan lain Sabah berjaya menamatkan latihan khas ‘Eco-Friendly Snorkelling Guide’ anjuran Reef Check Malaysia.


Latihan khas selama empat hari itu diadakan dengan kerjasama Green Fins, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), serta MetLife Foundation.


Inisiatif latihan itu merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia yang memperkenalkan garis panduan standard kepada pemandu snorkeling.

Pengurus Program Reef Check Malaysia Sabah, Adzmin Fatta berkata, inisiatif itu memberi pendedahan mengenai pemuliharaan marin dan amalan pelancongan bertanggungjawab.


Malah katanya, ia juga memberi pendedahan kepada pemandu snorkeling dengan kemahiran menyelamat seperti bantuan pernafasan (CPR) serta pertolongan cemas lain.


“Tiada latihan formal untuk pemandu snorkeling sebelum ini. Ia bukan saja memberi kemahiran berguna kepada komuniti tempatan, malah memperkukuh perlindungan terhadap terumbu karang kita.

“Kesedaran ini amat penting kerana sebelum ini banyak berlaku aktiviti yang mengganggu hidupan marin termasuk pencemaran yang berleluasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, tindakan itu perku ditangani bagi mengelakkan kerosakkan pada ekosistem sebenarnya yang menjadi tarikan utama pelancongan di Sabah.


Sementara itu, bagi peserta latihan, Siti Rugaiyah Maadil berkata, latihan ini pengalaman yang membuka mata mengenai pentingnya penjagaan ekosistem hidupan marin.


“Kami belajar tentang fungsi terumbu karang dan bagaimana tabiat biasa semasa membawa pelancong boleh memudaratkan hidupan laut.


“Paling penting, kami kini tahu bagaimana memberi taklimat keselamatan yang menggalakkan tingkah laku mesra terumbu,” katanya.


Seorang lagi peserta, Mohd Fifi Hafizi Amir Hamja berkata, walaupun sudah lama menjadi pemandu snorkeling, ini kali pertama dia menerima latihan formal.


“Saya baru sedar ada antara apa yang biasa kami lakukan sebenarnya merosakkan hidupan marin dan batu karang. Saya bersyukur dan harap lebih ramai rakan setugas akan turut berpeluang dilatih selepas ini,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page