top of page
  • nabalunews

Lawatan Ewon ke Labuan manfaatkan usahawan, koperasi, peniaga kecil

18 Ogos 2024


LABUAN : Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick memulakan lawatan kerja di Labuan dengan menyempurnakan Majlis Moginakan bersama komuniti di sini yang dianjurkan oleh pimpinan UPKO Labuan diketuai Ketua Bahagian UPKO Labuan, Macguel Sagundai, malam tadi.


Turut hadir adalah perkumpulan peniaga kecil yang sebelum ini telah mengemukakan permohonan kemudahan kanopi bagi memudahkan mereka berniaga.


Ewon telah menyalurkan bantuan ini yang diselaraskan oleh Macguel.


Dalam ucapannya, Ewon menyatakan pelbagai perkhidmatan khususnya program-program pembangunan keusahawanan, pembiayaan, latihan dan pengantarabangsaan yang dikendalikan oleh agensi-agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).


Keesokan harinya, Ewon meluangkan masa meninjau dan berjumpa dengan penjaja-penjaja di Jalan OKK Abdullah Labuan yang berjualan setiap hari Ahad dan membeli barangan yang dijual mereka sebagai tanda sokongan kepada kaum ibu yang berjualan.


KUSKOP juga menjaga portfolio penjaja dan peniaga kecil negara melalui pewujudan Bahagian Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil.


Ewon juga mempengerusikan Majlis Perundingan Penjaja dan Peniaga Kebangsaan.


Beberapa isu berkaitan penjaja memerlukan penyelarasan dengan pihak-pihak berkuasa tempatan serta agensi-agensi kerajaan yang lain terutamanya berkaitan dengan perlesenan, persijilan, ruang premis dan penguatkuasaan.


Seterusnya Ewon menyempurnakan Program Ramah Mesra Bersama Usahawan dan Koperasi Bagi Memasyarakatkan Gerakan Koperasi Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.


Agensi-agensi kementerian iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) serta ANGKASA telah menyampaikan taklimat masing-masing.


Dalam ucapannya, Ewon menyeru agar Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan koperasi-koperasi di Labuan memanfaatkan pelbagai inisiatif KUSKOP dan agensi-agensi di bawahnya yang berkaitan dengan akses kepada pinjaman, geran bantuan, persijilan dan latihan keusahawanan.


Beliau turut menyatakan inisiatif khas yang dilaksanakan oleh SKM iaitu Program Jom Jelajah Koperasi (JEJAK) dan Program Jualan Madani Koperasi (JMK) selain program terkait pendidikan oleh Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) dan Yayasan Bank Rakyat.


Bersempena program ini, Ewon turut menyampaikan sijil pendaftaran koperasi kepada 4 buah koperasi baharu dan juga sumbangan kanopi dan meja oleh SKM kepada penjaja-penjaja yang dikendalikan oleh Persatuan Kebajikan Gemilang Sabah.


Beliau turut melancarkan Program ‘Happy Hour’ Jualan Madani Koperasi yang menawarkan diskaun harga sehingga 30 peratus harga barangan pengguna yang dikendalikan oleh Koperasi Keluarga Haji Syamsudin Bila Labuan Berhad.


Susulan lawatan terdahulu pegawai-pegawai SKM ke premis koperasi ini, Ewon bersetuju peruntukan sebanyak RM50,000 disalurkan kepada koperasi ini untuk menambahbaik kemudahan di premis mereka sepertimana diperlukan.


Koperasi keluarga ini juga merupakan yang terbaik di Labuan dan Ewon berharapkejayaan serta pencapaian mereka boleh menjadi inspirasi dan motivasi kepada koperasi-koperasi lain di Labuan.


Ketika di Labuan, Ewon turut memenuhi jemputan Koperasi Wanita Labuan Berhad (KOWANI) melihat premis VCO-Farm mereka di Kg Bukit Kuda, Labuan.


Beliau telah diberikan taklimat oleh Bendahari KOWANI, Mimie Duasa mengenai perusahaan di bengkel pemprosesan minyak kelapa dara dan galeri produk anggota-anggota KOWANI serta diperkenalkan dengan aktiviti-aktiviti keusahawanan anggota KOWANI yang lain.


Ewon berkata beliau akan memudahcarakan beberapa keperluan KOWANI dengan melibatkan agensi-agensi lain untuk membantu mengikut keperluan yang telah dikemukakan kepadanya.


Ewon berharap KOWANI terus berusaha untuk mencetuskan kisah-kisah kejayaan yang seterusnya.


Sebelum berlepas ke Kuala Lumpur, Ewon meluangkan masa mengunjungi Pengurus TEKUN Nasional Cawangan Labuan, saudara Mustapha yang sedang bercuti sakit selepas mengalami stroke dan menyampaikan sumbangan bagi meringankan keperluan.


Rakan-rakan kakitangan TEKUN Nasional Sabah di bawah kelab mereka, iaitu Kelab Remaja Purba juga turut sama berkunjung dan menyampaikan sumbangan.


Semoga kunjungan ini telah dapat memberi sokongan moral dan doa kepada keluarga.


Ewon berkata beliau akan berkunjung semula ke Labuan pada tahun hadapan untuk program pembangunan PMKS dan koperasi.


Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Labuan dan Jabatan Muzium Labuan yang membantu menyediakan tapak bagi program ini.

Commentaires


bottom of page