Lawatan Pemimpin Kadamaian: Tinjauan Keperluan Pembaikan di Kampung Piasau
- nabalunews
- Mar 5, 2025
- 2 min read

5 Mac 2025
KOTA BELUD: Ketua Pegawai Perhubungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Carlye Lajimin, bersama Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kadamaian, Saikom Watis, telah mengadakan lawatan ke Kampung Piasau, Kota Belud, untuk meninjau keperluan pembangunan infrastruktur di kawasan tersebut.
Turut serta dalam lawatan ini ialah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Piasau, Jolyhame Saran.
Antara perkara yang diberikan perhatian adalah keadaan Dewan Dudan Kampung Piasau, yang memerlukan penyelenggaraan segera, khususnya dalam aspek pendawaian elektrik.

Menurut Jolyhame, sistem pendawaian di dewan tersebut sudah berusia dan kini berada dalam keadaan yang membahayakan pengguna.
“Pendawaian yang sudah usang ini perlu diganti bagi menjamin keselamatan penduduk yang menggunakan dewan untuk pelbagai aktiviti,” jelasnya.
Selain itu, lawatan ini turut melibatkan tinjauan ke Gereja Roman Catholic (RC) St. Cecilia Kampung Piasau, yang mengalami kerosakan pada pagar kawasannya.
Masalah ini menyebabkan haiwan ternakan seperti sapi sering memasuki perkarangan gereja, sekali gus menjejaskan kebersihan dan ketenteraman jemaah.
Jolyhame menegaskan bahawa baik pulih pagar gereja amat diperlukan bagi memastikan tempat ibadah kekal terpelihara.
“Kami berharap agar bantuan dapat disalurkan bagi menyelesaikan isu ini dengan segera,” tambahnya.
Carlye, menjelaskan bahawa tujuan utama lawatan ini adalah untuk mengumpul maklumat terperinci bagi disampaikan kepada ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.
Laporan lengkap mengenai keadaan dewan dan gereja akan dikemukakan bagi mendapatkan peruntukan serta sokongan yang diperlukan untuk kerja-kerja pembaikan.
"Kami mahu memastikan kemudahan di Kampung Piasau sentiasa dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan oleh penduduk," ujar Carlye.
Menurut Carlye lagi, usaha berterusan daripada Ewon ini mencerminkan keprihatinan kepimpinan beliau dalam memastikan kesejahteraan masyarakat serta kemudahan awam dan keagamaan terus diberikan perhatian sewajarnya.
Langkah susulan kini sedang diatur untuk merealisasikan pembangunan yang diperlukan demi kepentingan penduduk Kampung Piasau.


















Comments