Wartawan Nabalu News
Lawatan PM Anwar ke Jerman perkukuh hubungan, kerjasama dua hala
9 Mac 2024
By Wartawan Nabalu News
BERLIN: Dalam langkah yang dijangka akan memperkukuh lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Jerman, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan lawatan rasmi pertamanya ke negara itu dari 10 hingga 15 Mac ini.
Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan ini akan melibatkan mesyuarat dua hala dengan Canselor Jerman Olaf Scholz dan kunjungan hormat ke atas Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier.
"Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kemajuan hubungan Malaysia-Jerman terutama kerjasama dalam bidang ekonomi, pendidikan, alam sekitar dan kelestarian selain bertukar pandangan mengenai isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama," menurut Wisma Putra.
Dalam lawatan tersebut, Anwar akan disertai oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Selain itu, Perdana Menteri juga akan menyampaikan ucapan di Yayasan Korber dan SME Future Day 2024, serta mengadakan pertemuan dengan kapten-kapten industri dan para pelabur berpotensi dari Eropah.
Anwar juga dijadualkan untuk menghadiri Majlis Makan Malam Persahabatan Asia Timur ke-101 di Hamburg dan memberikan temu bual eksklusif kepada Agensi Akhbar Jerman.
"Lawatan rasmi Perdana Menteri itu dijangka mengeratkan lagi hubungan dua hala serta kerjasama pelbagai bidang di antara Putrajaya dan Berlin," tambah Wisma Putra.
Jerman telah menjadi rakan perdagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah sejak tahun 2000, dan pada tahun 2023, nilai dagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 5.9 peratus kepada RM63.45 bilion (US$13.90 bilion).
Comments